KUALA LUMPUR – Selaras dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada punca luar negara yang diumumkan oleh Menteri Kewangan melalui Bajet 2022, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menawarkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara.
Program ini akan dilaksanakan berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang berikut:
(a) Tempoh pelaksanaan PKPP adalah mulai 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 (tempoh PKPP);
(b) Kadar cukai 3% kasar ke atas pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh tersebut sepertimana yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Kewangan 2021;
(c) Tiada semakan audit, siasatan atau penalti terhadap pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh PKPP, semua pendapatan yang dibawa masuk akan diterima secara suci hati oleh pihak LHDNM.
(d) Pendapatan hendaklah dibawa masuk / diremit dalam tempoh PKPP;
(e) Pembayar cukai perlu membuat pengisytiharan untuk menyertai PKPP selewat-lewatnya 30 hari selepas tamat tempoh PKPP;
(f) Bayaran cukai hendaklah dibuat mengikut aturan pembayaran biasa yang telah ditetapkan bagi tahun taksiran 2022 atau 2023, yang mana berkenaan; dan
(g) PKPP tidak melibatkan pendapatan yang terbit dari Malaysia yang tertakluk kepada cukai bagi tahun taksiran 2021 dan tahun-tahun taksiran seterusnya dan diremit atau dibawa balik dalam tempoh PKPP.
Selepas tamat tempoh tersebut, pihak LHDNM akan menyemak dan meneliti maklumat-maklumat pendapatan pemastautin Malaysia yang disimpan di luar negara yang telah diterima melalui perjanjian pertukaran maklumat percukaian dengan negara-negara lain.
Sekiranya berdasarkan semakan, didapati pendapatan yang disimpan di luar negara yang berpunca dari Malaysia masih belum dilaporkan, taksiran tambahan boleh dibangkitkan berserta dengan penalti selaras dengan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sehubungan itu, LHDNM menggalakkan pembayar cukai untuk menyertai program khas yang ditawarkan ini bagi mengemas kini kedudukan cukai mereka. – MalaysiaGazette