WELLINGTON – Mayat manusia ditemui di lombong arang batu New Zealand, selepas lebih sedekad tragedi perindustrian terburuk berlaku di negara ini.
Seramai 29 lelaki terbunuh selepas beberapa siri letupan yang disebabkan oleh gas metana di lombong Sungai Pike di pantai barat Pulau Selatan pada November 2010.
Hanya dua lelaki berjaya melarikan diri.
Lombong itu ditutup dan kemasukan dilarang selama bertahun-tahun kerana bimbang dengan tahap keselamatan.
Penyiasat akhirnya dibenarkan akses masuk ke lombong berkenaan pada 2019 berikutan gesaan oleh keluarga pelombong.
Polis berkata, imej yang diambil lewat minggu lalu semasa siasatan dijalankan dalam lombong berkenaan mengesahkan penemuan dua mayat, dengan kemungkinan ada mayat ketiga.
Bagaimanapun, mayat itu berada jauh dari pintu masuk lombong dan tidak dapat ditemui.
“Walaupun kami tidak dapat mengenal pasti mayat, kami sedang bekerjasama dengan pakar forensik untuk melihat apa yang boleh kami lakukan untuk mengesahkan identiti mereka,” kata Detektif Superintendan, Peter Read.
Penyiasat percaya terdapat enam hingga lapan orang bekerja di kawasan tempat mayat-mayat itu ditemui, tambahnya. – Reuters