KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang bertanding satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melancarkan ikrar dengan meletakkan keagamaan sebagai antara tiga teras utamanya.
Presiden IMAN, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, teras utama keagamaan itu mengutamakan keperluan masjid dan surau serta bantuan keperluan kelengkapan tokong serta kuil.
Jelas beliau, teras itu juga akan menumpukan kepada laluan utama tanah perkuburan Hindu.
“Teras utama kedua adalah pendidikan bagi mengatasi masalah keciciran murid dengan menyasarkan kawasan Tebung dan seluruh Machap Jaya.
“IMAN juga akan memastikan peluang melanjutkan pengajian di bidang kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain bantuan persekolahan kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohammed Mosin menambah, teras utama ketiga adalah mewujudkan peluang pekerjaan di Machap Jaya serta mewujudkan eko-pelancongan bagi merancakkan ekonomi setempat.
“IMAN juga berikrar untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma bagi golongan yang memerlukan,” katanya.
Pada PRN Melaka ini, IMAN meletakkan Abdul Aziz Osani Kasim sebagai calon yang merupakan anak tempatan Machap Jaya.
Beliau yang berusia 52 tahun mempunyai kemahiran lain menguasai tiga bahasa walaupun dilihat sebagai bukan calon pilihan.
Ketua Cawangan IMAN Machap Baru itu datang daripada keluarga peneroka termasuk pernah menjadi penoreh getah dan pengawal keselamatan sebuah pasar raya yang menjadi satu ‘bonus’ yang memudahkannya mendekati penduduk kebanyakannya adalah masyarakat kampung.
Abdul Aziz telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan pendidikan di DUN berkenaan khususnya Kampung Machap Baru dan Air Pasir.
Antaranya menubuhkan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar Rayyan dan menyumbang pelbagai kemudahan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kampung Machap Baru.
Antara rancangan masa hadapan yang mahu dibawa Abdul Aziz adalah mewujudkan sebuah mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi kemudahan masyarakat khususnya warga emas melakukan urusan harian selain meningkatkan ekonomi. – MalaysiaGazette