AYER KEROH – Berbaki tiga hari sahaja lagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pelbagai cara berkempen dilakukan oleh kesemua 112 calon yang berebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Biarpun suram pada permulaannya, namun sehari dua ini, kempen dilihat semakin rancak dengan pelbagai isu diketengahkan.
Menyerang parti lawan itu sudah biasa dalam perang pilihan raya, namun yang berlegar hari ini adalah isu dua dua kem dalam Perikatan Nasional (PN) yang terus menjadi bualan.
Perang dalaman PN semakin hangat apatah lagi dua individu ini disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Nama Datuk Mas Ermieyati Samsudin (calon N02 Tanjong Bidara) dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (calon N23 Telok Mas) yang disebut-sebut sebagai calon ketua menteri ini dikatakan tidak sehaluan.
Calon N02 Tanjong Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon N23 Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dikatakan tidak sehaluan dalam kebersamaan PN memastikan kemenangan PRN Melaka ini.
Perkara itu bagaimanapun tidak dinafikan oleh Mejar (B) Abdullah Mahadi, calon N04 Lendu.
“Saya ambil maklum perkara itu, cumanya dalam pilihan raya ia boleh dianggap perkara biasa.
“Walau apapun, kami tetap teguh untuk memastikan kemenangan PN di Melaka ini,” katanya dalam program Melaka Memilih hari ini.
Beliau berkata, perselisihan dalam parti tidak akan menggugat kepercayaan rakyat.
“Saya ni orang kecil, tapi kami akan teguh dalam satu kumpulan untuk membawa Melaka kepada satu perubahan.
“Ada banyak isu lebih besar yang menjadi agenda kami,” ujarnya.
Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Mejar Dollah juga berharap isu itu tidak diperbesarkan.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kempen saat akhir di Lendu, Abdullah mengakui ia bukan satu tugas sukar.
“Poster kempen saya baru siap dan jentera kami akan menggembleng tenaga untuk memastikan ada peperangan di Lendu.
“Saya pastikan ada perubahan di kawasan saya nanti,” jelasnya.
Ketika ditanya prestasi Ketua Melaka Sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Abdullah berkata, usaha itu ada namun Sulaiman sudah salah memilih kapal.
“Apabila tersalah pilih kapal, itu yang jadi macam sekarang.
“Sepatutnya beliau bersama kapal yang betul menerajui Melaka,” katanya. -MalaysiaGazette