Home Nasional Ketua Menteri silih berganti, tapi banjir lumpur masih tiada kesudahan – Penduduk...

Ketua Menteri silih berganti, tapi banjir lumpur masih tiada kesudahan – Penduduk Kg Bukit Senggeh

Penduduk kampung Noor Hisyam Jamil menunjukkan hasil lombangan pihak tidak berwajib yang menyebakan banjir lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Senggeh Selendar, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

SELANDAR – Isu banjir lumpur di Kampung Bukit Senggeh, di sini, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir di dalam kawasan kampung terbabit didakwa masih berlarutan sejak 25 tahun lalu.

Perkara itu diakui salah seorang penduduk kampung tersebut, Noor Hisyam Jamil yang mendakwa aktiviti perlombongan pasir yang bermula pada awal 90-an masih beroperasi hingga ke hari ini.

Dakwanya, meskipun pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka silih berganti setiap kali pilihan raya, namun kerja-kerja perlombongan pasir masih diteruskan seperti biasa dan sekurang-kurang 46 bekas lombong terhasil akibat aktiviti itu.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Kampung Bukit Senggeh baru-baru ini mendapati, masih terdapat kesan lumpur berbekas bukan sahaja dalam pekarangan kediaman penduduk, bahkan kebun getah turut terjejas.

Penduduk kampung Noor Hisyam Jamil bercakap pada media berkenaan lombangan pihak tidak berwajib yang menyebakan banjir lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Senggeh Selendar, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

“Kali terakhir banjir lumpur terbaru pada 10 November 2021, boleh dikatakan teruk, sisa lumpur masih ada lagi dalam kebun (getah).

“Rumah yang terlibat itu (banjir lumpur) kira-kira lima buah rumah, yang terletak berdekatan dengan kawasan laluan air, lumpur masuk dalam kawasan rumah selepas dua hari hujan lebat.

“Tiada (bantuan) yang terkena (banjir lumpur) kebun apa semua, jumpa pun tidak (kerajaan). Kesan banjir lumpur dalam kebun memang ada.

“Sampah-sarap memang tak boleh buat apa, lumpur saja yang tinggal, lumpur pula boleh merosakkan pokok getah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melawat tapak perlombongan pasir di pinggir kampung tersebut, semalam.

Hasil lombangan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan banjir lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Senggeh Selendar, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

Noor Hisyam mendedahkan, walaupun banyak kali pihaknya membuat laporan polis dan mengadukan perkara itu menggunakan semua saluran, namun operasi perlombongan pasir masih berjalan sehingga ke hari ini.

“Dia akan tutup setahun atau dua tahun, dia akan beroperasi balik, macam sekarang ini baru beroperasi lebih kurang dalam sebulan, dia mula bawa jentera, mula cuci pasir lebih sebulan lalu, baru nak jalan balik.

“Sebelum ini sudah tutup hampir dua atau tiga tahun, sekarang ini beroperasi balik. Masalah ini berlaku sudah lebih 20 tahun sampai sekarang masih tiada tindakan,” dakwanya.

Menurut beliau, pihaknya hanya dimaklumkan operasi perlombongan pasir itu telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan disebabkan itu rakyat terus merana tanpa sebarang bayaran pampasan akibat setiap pokok getah yang mati.

Pemandangan di sekitar kawasan rumah penduduk Kampung Bukit Senggeh yang rosak hasil lombangan pihak tidak berwajib yang menyebakan banjir lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Senggeh Selendar, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

“Sekarang ini masih jalan (lombong pasir), tiada penyelesaian, alasan pun kita tak pernah dapat tahu. Saluran semua kita sudah buat tapi penyelesaian tiada sampai sekarang.

“Cuma yang kita dapat tahu ini adalah hasil Kerajaan Negeri Melaka, hasil daripada lombong dari segi perlesenan saya pun tak tahu

“Operasi ini bagaikan halal, tapi sekarang tak dapat (pampasan), itu yang menjadi persoalan sekarang, kebun saya memang terlibat, itu yang saya rasa sangat kecewa,” katanya.

Dalam pada itu, kejadian banjir lumpur di kampung terbabit bukan perkara baharu, bahkan ia mula berlaku sejak 2011 hingga menyebabkan penduduk kerugian ratusan ribu ringgit apabila kebun getah musnah.

“Kalau tak salah saya, perkara ini semua ada dalam laporan polis yang melibatkan banjir teruk berpunca daripada kolam tadahan lombong pasir di kawasan ini sejak 2011.

“Kebun-kebun getah yang terlibat paling teruk (terjejas), punca dari sini (perlombongan pasir), bawa terus ke kampung…habis kebun-kebun orang kampung banyak lagi terlibat.

“Habis pokok-pokok mati semua, lepas itu pampasan memang tak dapat apa lah, kerugiannya tak tahu nak cakaplah,” katanya.

Pemandangan di sekitar Kampung Bukit Senggeh yang rosak hasil lombangan pihak tidak berwajib yang menyebakan banjir lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Senggeh Selendar, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

Noor Hisyam sendiri pernah membawa perkara itu kepada pihak mahkamah untuk menuntut keadilan dan pampasan sewajarnya, namun dia tewas ketika proses pemilikan kebun getah yang diusahakan ibu bapanya sejak berpuluh tahun lalu.

“Pernah saya bawa tuntutan ke mahkamah masa itu, anggaran daripada pihak peguam dianggarkan ratusan ribu ringgit untuk satu kebun.

“Masalahnya tak menang, sebab kebun ini atas nama orang tua (ibu bapa), dia belum pindah milik kepada anak-anak. Bila orang tua masuk mahkamah, mereka tak boleh bercakap, tanya nama pun tak tahu, itu yang susah.

“Bila peguam depan hakim bertanya dia pun tak boleh nak jawab, lot nombor sekian siapa punya, dia pun tak boleh nak jawab, dia tak sekolah, jenis orang dulu-dulu memang tak sekolah, itu yang tak boleh nak menang,” katanya.

Katanya lagi, anggaran nilai kerugian setiap kebun getah yang terjejas banjir lumpur itu berdasarkan pengiraan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Kalau ikutkan kerosakan kebun memang lebih, saya pernah buat pengiraan, pokok getah ini diambil daripada Risda, saya pernah ke pejabat Risda, bertanya dia tentang pengiraan kerugian pokok.

“Dari mula kita tanam, kita jaga, kita baja selama beberapa tahun. Pokok getah usia dia sejak ditanam sampai tempoh usianya 25 hingga 27 tahun.

“Bayangkan kalau benih pun sebatang daripada Risda sudah RM3 lepas itu dengan penjagaan dan pembajaan, bila keluar hasil selepas umur lima tahun, sekurang-kurangnya satu batang pokok untuk satu bulan mengeluarkan hasil sekurang-kurangnya 4 kilogram,” dakwanya. – MalaysiaGazette