AYER KEROH – Tiada lagi pilihan raya negeri selepas ini bagi membentuk Kerajaan Negeri Melaka meskipun Pilihan Raya Umum ke-15 dijangka diadakan pada tahun hadapan.
Ketua Menteri Melaka Sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sekiranya pengundi Melaka tidak keluar mengundi esok, mereka terpaksa menunggu sehingga 2026 untuk memilih kerajaan negeri.
“Ada kedengaran ada mereka yang mengadu kepada saya bahawa tak keluar mengundi tak apa sebab dia kata tahun depan ada lagi pilihan raya.
“Saya nak maklumkan bahawa kali ini adalah pilihan raya negeri atau Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Melaka yang ke-15.
“Tiada lagi memilih kerajaan negeri untuk membentuk Kerajaan pada tahun hadapan.
“Kalau kita tidak keluar mengundi, atau kita silap untuk memilih kerajaan, kita kena tunggu lagi lima tahun baru akan ada pilihan raya untuk memilih kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, jika ada pun PRU15 pada tahun hadapan, ianya hanyalah untuk memilih Ahli Parlimen, seterusnya bagi membentuk Kerajaan Persekutuan sahaja.
“Sekiranya ada juga pilihan raya tahun hadapan, itu kita memilih Kerajaan Persekutuan atau kita memilih Ahli Parlimen yang mewakili Melaka untuk Kerajaan Persekutuan.
“Saya fikir mereka dah faham, Insya-Allah mereka akan turun mengundi esok pada 20 November 2021,” katanya lagi. – MalaysiaGazette