AMPANG – Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul seorang gadis yang bekerja di sebuah kedai vape, bulan lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
AMPANG – Seorang anggota tentera hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencabul seorang gadis yang bekerja di sebuah kedai vape pada bulan lalu.
Tertuduh, Zynetlee Von Zim, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Maizan Rahim.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dengan maksud mencabul kehormatan dengan cara memegang tangan kanan dan menghisap jari telunjuk mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini, pada pukul 1.28 tengah hari 5 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri yang baru melahirkan anak dan keluarganya berada di Sabah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
“Memandangkan tertuduh tidak mempunyai pasport, mahkamah membatalkan syarat itu (serahan pasport),” kata Majistret Nur Maizan.
Bagi sebutan semula kes, mahkamah menetapkan tarikh 12 Januari tahun hadapan.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang berusia 18 tahun telah didatangi oleh seorang lelaki berpakaian seragam tentera yang mahu membeli barangan vape di kedai berkenaan.
Lelaki terbabit keluar dari kedai selepas selesai membeli barangan vape namun kemudiannya masuk semula ke kedai itu.
Ketika mangsa menyerahkan pod vape kepada lelaki terbabit, suspek dipercayai mengambil kesempatan dengan memegang tangan mangsa dan turut menjilat jari mangsa berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup yang tular di laman sosial. – MalaysiaGazette