Home Politik Banjir lumpur: Kenapa lima tahun jadi KM tak buat? soal Sulaiman

Banjir lumpur: Kenapa lima tahun jadi KM tak buat? soal Sulaiman

Sulaiman Md Ali

AYER KEROH – Banjir lumpur yang melanda kediaman dan kebun getah milik penduduk Kampung Bukit Senggeh, Selandar baru-baru ini bukan perkara baharu sebaliknya telah berlarutan sejak pentadbiran ketua menteri lepas.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan, kejadian yang berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir dalam kawasan kampung itu bukan bermula di bawah pentadbiran beliau.

Sebaliknya beliau sendiri mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka untuk menghentikan kerja-kerja perlombongan bagi mengelak kejadian yang menjejaskan penduduk tempatan itu daripada berulang.

“Kita sudah laksanakan (tindakan drastik), ada yang saya batalkan, minta Jabatan Perhutanan untuk melihat dan menilai semula (lesen perlombogan pasir).

“Kalau tak boleh saya kata jangan dibagi, saya tak mahu melibatkan kerja-kerja pengorekan tanah darat pasir ini berlaku lagi berulang

“Kalau pihak perhutanan membenarkan maka saya bersetuju, kalau ulasannya tidak membenarkan, saya tidak bersetuju.

“Sebab mereka yang lebih tahu, mereka lebih arif dengan geografi tanah bukit-bukit untuk kerja-kerja pengorekan pasir,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette hari ini yang mendedahkan kejadian banjir lumpur di Kampung Bukit Senggeh, Selandar berpunca daripada aktiviti perlombogan pasir yang tidak terkawal sejak 25 tahun lalu.

Kejadian sama berulang pada 10 November lalu di mana lima kediaman penduduk ditenggelami banjir lumpur, manakala kebun-kebun getah pula didakwa masih mempunyai kesan lumpur dan mendapan pasir.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang lalu di mana masih gagal menangani isu perlombogan pasir tidak terkawal itu hingga menyebabkan kebun getah penduduk rosak teruk.

“Kes ini dah lama, bukan baru berlaku, bukan 18 bukan itu hari, sebelum itu pun 22 bulan telah berlaku, benda ini lebih awal lagi sebelum PRU14.

“Dulu kenapa tak ambil tindakan, yang pegang lima tahun dulu (Datuk Seri Idris Haron) yang pernah jadi ketua menteri kenapa tak buat waktu itu.

“Yang pegang 22 bulan (PH), kenapa tak buat pada ketika itu, saya baru 18 bulan,” katanya.

Katanya lagi, beliau melihat perkara itu cuba ditimbulkan ketika ini hanya bertujuanĀ  meraih sokongan pengundi kepada pencabarnya dalam PRN Melaka, esok.

“Hari ini baru nak kata banjir dan sebagainya, ini semua politik untuk meraih undi, jangan begitu.

“Sebab dia pernah duduk dalam itu, dia lebih lama daripada saya. Saya cuma 18 bulan, jadi ini semua isu-isu politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette