GEORGE TOWN – Kurang pengetahuan dan hak sebagai rakyat apabila dihubungi pihak berkuasa antara punca kes jenayah komersial khususnya Macau Scam meningkat saban hari.
Perkara itu didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Asmadi Yusoff apabila 640 kes penipuan Macau Scam dilaporkan di Pulau Pinang dalam tempoh 10 bulan melibatkan kerugian berjumlah RM13.34 juta.
Jelas beliau, angka itu menunjukkan penipuan jenayah dalam talian meningkat, sekali gus berada di tahap yang membimbangkan.
Kata Mohd Asmadi, jumlah kes membabitkan Macau Scam menunjukkan peningkatan setiap tahun namun jumlah kerugian menurun.
“Berdasarkan statistik pada tahun 2019 sebanyak 499 kes Macau Scam dilaporkan dengan nilai kerugian berjumlah RM18.46 juta dan diikuti dengan tahun 2020 di mana berlaku peningkatan sebanyak 126 kes berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi tahun ini, sebanyak 640 kes dilaporkan dalam tempoh 10 bulan dan ia sekali gus menunjukkan peningkatan ketara kerana masih berbaki dua bulan untuk mendapatkan jumlah kes serta kerugian keseluruhan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Asmadi berkata, tahap kesedaran rakyat di negara ini berhubung kes-kes melibatkan penyamaran sebagai pihak berkuasa masih di tahap rendah turut menjadi faktor peningkatan kes.
“Sehubungan itu, kita harap mangsa yang menerima panggilan daripada suspek jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh mereka tanpa menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit terlebih dahulu.
“Selain itu, jangan telefon mengikut nombor yang diberikan atau tertera cari akses yang sahih sekali gus dapat mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan sebegini,” kata beliau. – MalaysiaGazette