PUCHONG – Peruntukan sebanyak RM20 juta untuk merancakkan pertumbuhan sukan elektronik atau e-sukan tatkala negara menuju ke fasa endemik Covid-19 membuktikan kerajaan peka terhadap usaha memperkasakan sukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir berkata, peruntukan itu dapat memanfaatkan usaha pembangunan e-sukan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan belia.
“Dengan adanya peruntukan RM20 juta, ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin dengan masa depan e-sukan dan lebih banyak aktiviti dalam sukan itu boleh dijalankan di Malaysia.
“Saya harap usaha ini akan berterusan bagi memastikan penggiat e-sukan dapat terus bergiat untuk meningkatkan taraf dan juga keistimewaan diri masing-masing dalam industri e-sukan,” katanya.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu mengumumkan RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.
Ini adalah tahun keempat berturut-turut pembangunan e-sukan diberi perhatian dalam pembentangan bajet menyaksikan kerajaan turut memperuntukkan dana RM15 juta menerusi Bajet 2021, RM20 juta (Bajet 2020) dan RM10 juta pada pembentangan Bajet 2019.
Selain peruntukan RM20 juta, Tengku Zafrul pada pembentangan itu turut memaklumkan kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan yang layak.
Mengulas lanjut, Ahmad Faris berharap ibu bapa dan guru-guru mengalakkan belia terutama anak muda yang meminati permainan video menceburinya sebagai kerjaya melalui bidang e-sukan.
Jelasnya, bidang itu bukan sekadar bermain video namun penyertaan anak muda di dalam bidang itu perlu dialu-alukan memandangkan ia sudah diangkat ke peringkat antarabangsa.
“Masalah memang ada dalam e-sukan namun kita kena percaya ia mempunyai karier jaminan dan mampu jana pendapatan dan baik untuk negara serta diharap dapat membuka mata ramai orang.
“Untuk belia yang sudah berkecimpung jangan main-main kerana kerajaan sudah serius dan ambil peluang ini,” katanya.
Sementara itu, Impact Integrated merupakan Syarikat Berhad Menurut Jaminan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang memangkin pembangunan dan inovasi belia di negara ini.
Ia merupakan organisasi induk kepada empat buah anak syarikat iaitu: Impact Malaysia, Rakita 107.9, Spacerubix, Picksum, Esports Integrated dan mySukan TV.-MalaysiaGazette