BANGKOK – Seorang lelaki terbunuh dan tiga orang cedera selepas terlibat dalam pergaduhan dengan jiran yang berpunca daripada bau mee segera.
Polis berkata, Somchai Klinhom, 47, ditikam mati di rumahnya di kawasan perumahan Maneemart di Soi Khubon 28 di Jalan Khubon di daerah Khan Nayao, Bangkok pada jam 11.45 pagi semalam.
Mangsa yang mati dikenal pasti sebagai Somchai manakala dua lelaki dan seorang wanita dilaporkan cedera dikejarkan ke hospital.
Polis menemui pisau yang darah, kayu besbol dan tongkat kayu di tempat kejadian.
Pergaduhan antara Somchai, seorang pengawal keselamatan dan jirannya tercetus apabila adik mangsa dikatakan merebus mee segera yang didakwa menyebabkan bau kurang selesa.
Mereka kemudiannya ke Balai Polis Khan Nayao untuk mencari jalan penyelesaian.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian Somchai bergaduh semula dengan jirannya.
Kali ini, dia menjerit kepada ibu jirannya, mendorong tiga yang lain meluru masuk rumah Somchai dan memukul beliau.
Somchai mati di hadapan rumahnya, kata polis. – MalaysiaGazette