KUALA LUMPUR – Pergerakan penumpang domestik bulanan di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di negara ini meningkat tiga kali ganda kepada 1.18 juta orang pada Oktober lepas berbanding 362,000 orang pada bulan sebelumnya.
Lonjakan sebanyak 226 peratus itu adalah susulan daripada penamatan sekatan perjalanan domestik yang turut menyaksikan kumpulan itu buat pertama kali mencatatkan pergerakan lebih sejuta penumpang di Malaysia pada tahun ini.
Selain itu, gabungan operasi kumpulan MAHB di Malaysia dan Turki merekodkan sejumlah 4.1 juta pergerakan penumpang pada bulan lepas iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding September.
“Inisiatif kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) bagi kemudahan perjalanan antarabangsa sudah semestinya akan menyumbang kepada pemulihan industri penerbangan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan sekatan perjalanan susulan COVID-19,” kata Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MAHB juga optimis mengenai permintaan berterusan terhadap perjalanan sama ada bagi tujuan perniagaan atau riadah.
Menurutnya, sebelum berlakunya COVID-19, laluan KLIA-Changi merupakan laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia bagi dua tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019 dengan merekodkan lebih 30,000 penerbangan setahun.
Malah, Iskandar Mizal yakin permintaan sama akan terus kekal bagi laluan berkenaan.
Selain itu, aset MAHB di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) juga secara konsisten mencatatkan aliran pergerakan penumpang yang menggalakkan, sekali gus menggambarkan pemulihan Turki yang ketara dalam sektor penerbangan.
Pada Oktober 2021, ISG merekodkan sebanyak 2.7 juta penumpang bagi pergerakan penumpang antarabangsa iaitu meningkat 13 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Kadar vaksinasi Turki yang tinggi iaitu 72.4 peratus membabitkan penduduk dewasa serta pelancaran vaksin COVID-19 sendiri dikenali Turkovac, turut meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk mengunjungi negara itu.
Secara keseluruhannya, ISG kekal menjadi penyumbang utama sebanyak 66 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan MAHB.
Dalam pada itu dari segi operasi kargo, MAHB telah mencatatkan sebanyak 869,445 tan metrik kargo sehingga Oktober lepas — peningkatan ketara sebanyak 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Penggiat kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd telah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kapasiti kekuatannya menerusi tambahan dua pesawat pada Disember ini.
Syarikat penerbangan kargo itu juga dalam proses memperluaskan laluannya ke China menerusi empat laluan baharu serta merancang untuk mengangkut kargo dari China ke India melalui Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette