Home Sukan PFAM terima aduan tunggakan gaji pemain Perak FC

PFAM terima aduan tunggakan gaji pemain Perak FC

Foto Twitter PFA Malaysia.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada pemain-pemain Perak FC mengenai tunggakan gaji yang masih gagal dijelaskan oleh pihak pengurusan kelab itu.

Perkara tersebut disahkan oleh PFAM melalui satu kenyataan rasmi yang dikongsi di rangkaian media sosial badan pemain itu.

“PFAM memahami situasi dan dilema yang dihadapi oleh para pemain sebelum ini. Keberanian ini harus dikongsi kepada pemain-pemain lain untuk membuat tindakan yang serupa. Seluruh ahli PFAM menyatakan #SolidaritiUntukPemain dan menyokong para pemain yang sedang mengharungi tempoh sukar ini.

“PFAM dan para pemain berharap agar kepimpinan terbaru Perak FC dapat memberi sinar untuk menyelesaikan kemelut tunggakan gaji ini.

“Kami sentiasa bersedia dan terbuka bagi mencari solusi terbaik demi menjaga kepentingan para pemain khususnya, dan keharmonian kelab, amnya,” tulis kenyataan tersebut.

Awal bulan ini, media mendedahkan Perak FC sebenarnya berhadapan dengan masalah tunggakan gaji lebih dua bulan dan kelab bola sepak itu berada di dalam cukup terdesak dalam mencari sumber kewangan.

Juara lapan kali Piala Malaysia itu juga berhadapan dengan pelbagai isu di luar padang, termasuk mengenai hal pengambilalihan, sekaligus merumitkan lagi keadaan.

Sebelum ini pernah tular di media sosial  membabitkan mesej daripada Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh kepada individu tidak dikenali yang memohon sumbangan sekurangnya RM20,000.

Sumbangan tersebut adalah untuk menampung kos satu perlawanan sahaja bagi pembayaran penginapan, logistik, makan dan minum serta pegawai perlawanan.

Perak FC mengakhiri saingan Liga Super pada musim ini di kedudukan ke-11 dan akan beraksi di saingan Liga Premier pada musim hadapan.

Di saingan Piala Malaysia, Perak FC gagal merekodkan sebarang kemenangan, menduduki kedudukan tercorot Kumpulan B dengan satu mata. – MalaysiaGazette