Home Politik Kalau Rayer ‘anak jantan’, sebut nama saya dan Asojan luar dewan –...

Kalau Rayer ‘anak jantan’, sebut nama saya dan Asojan luar dewan – Vigneswaran

S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Tindakan RSN Rayer yang sengaja dan suka memetik nama segelintir pemimpin MIC dalam isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mempamerkan sikap ‘pengecut’ Ahli Parlimen Jelutong itu.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, Rayer sengaja ‘berlindung’ dengan kekebalan Dewan Rakyat untuk sesuka hati melontarkan nama beliau dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M Ashojan.

“Jika betul Rayer ini anak jantan, kamu sebut balik apa yang cakap dalam Dewan Rakyat tentang apa yang kamu cakap tentang saya dan Ashojan. Jangan sembunyi dalam dewan yang mulia itu.

“Kalau ada bukti dan rasa apa yang kamu cakap ada fakta keluar dan cakap di luar dewan. Jangan ikut sedap mulut sebut nama untuk dapatkan populariti untuk diri sendiri dan parti kamu.

“Saya cabar kamu sekarang, keluar dan sebut balik nama saya dan Ashojan. Saya cukup yakin anda ini pengecut, kamu ini sekadar jaguh dalam dewan sahaja, luar kosong. Jangan tipu rakyat jadi hero, luarnya zero

“Kalau hendak bercakap tentang perjuangan dan jasa kamu untuk masyarakat India memang tidak ada, jadinya untuk kamu jadi jaguh kamu sanggup pula mempergunakan Dewan Rakyat untuk lakukan fitnah. Saya cakap sekali lagi, kalau kamu anak jantan  sebut balik nama kami, tunjuk keberanian kamu depan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Vigneswaran mengulas tindakan Rayer yang mencelah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique semalam.

“Saya percaya menteri boleh berterus terang dan memberikan jawapan kepada dewan ini yang tanggungjawab kepada rakyat.

“Perkara ini penting selepas SPRM sudah membuat siasatan dan tangkapan, kita hanya bertanyakan sama ada pemimpin politik MIC terbabit secara langsung atau tidak. Saya melontarkan nama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Datuk M Asojan (Setiausaha Agung MIC),” katanya.

Kata Vigneswaran lagi, beliau hendak melihat adakah kelantangan Rayer kekal seandainya ada pemimpin dari parti pembangkang yang terpalit nama dalam menguruskan dana MITRA ketika mereka memegang tampuk kuasa.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan, kita juga ingin tahu tentang ‘kesucian’ mereka ini. Kononnya menjaga kebajikan tetapi janji itu sendiri yang dibuat sebelum menang besar kamu tipu rakyat. Kamu fitnah segala macam dan kaburkan mata rakyat.

“Kini bila kembali jadi pembangkang, kamu guna balik taktik sama? Jadi bila masanya kamu yang d undi dan diberikan mandat oleh rakyat akan benar-benar buat kerja untuk mereka? Skandal yang sedang dihadapi pemimpin parti kamu, kenapa kamu diam?,” ujarnya.

Semalam Halimah memaklumkan semua tujuh persoalan dibangkitkan ahli Parlimen mengenai isu MITRA tidak dapat dijawab kerana SPRM menasihatkan perkara itu tidak dijawab susulan dikhuatiri mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Buat masa ini, SPRM sudah memulakan siasatan membabitkan geran MITRA dan program diluluskan pada 2019 hingga 2020 di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan program MITRA dari April 2020 hingga April 2021 ketika di bawah Kementerian Perpaduan Negara,” katanya menggulung perbahasan kementeriannya bagi Rang Undang Perbekalan 2022, di Dewan Rakyat, semalam. -MalaysiaGazette