AYER KEROH – Esok bakal menjadi penentuan penting buat semua gabungan politik di mana hala tuju dan nasib kepada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan dilihat melalui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, keputusan PRN Melaka bakal menjadi penanda aras kepada arah sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata, PRN Melaka menjadi catatan sejarah politik penting negara kerana Melaka merupakan negeri pertama dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mengadakan pilihan raya secara berasingan.
“Langkah itu dilihat menongkah arus kebiasaan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya umum.
“Isu utama yang berlegar-legar di media maya dan keadaan hakiki lapangan Melaka adalah isu pasir, rasuah, pemulihan ekonomi pra-endemik dan bantuan Covid-19 kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mustafa Kamal juga berkata, aspek kestabilan politik dan pemulihan ekonomi rakyat adalah dua perkara hangat yang menjadi tumpuan rakyat Melaka.
“Perubahan drastik politik Malaysia pada PRU14 lalu diikuti kejatuhan PH sebagai pemerintah kerajaan, disusuli perubahan tampuk kepimpinan Melaka, kemunculan wabak dan percakaran politik oleh parti pemerintah negeri telah mewujudkan situasi gelisah rakyat.
“Memang benar naratif kestabilan menjadi pokok utama kempen ketiga-tiga gabungan politik utama.
“Sudah pasti BN berusaha untuk kembali memenangi semua kerusi DUN setelah tewas pada PRU14 dan nasib BN kembali berkuasa apabila pembentukan Kerajaan PN di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, keberadaan BN sebagai tunjang kerajaan negeri dibinasakan oleh wakil rakyat UMNO sendiri dan tindakan terjadinya pembubaran DUN Melaka adalah berpunca daripada wakil rakyat UMNO yang kemudiannya bersekongkol dengan PH.
“Dua wakil rakyat Umno itu (Sungai Udang & Pantai Kundor) kemudiannya diterima oleh PH dan menjadi calon PH di Asahan dan Pantai Kundor.
“PH dijangka mempertahankan kemenangan melalui DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) tetapi gelombang PRU14 tidak lagi berlaku kali ini.
“Berdasarkan situasi semasa, DAP dijangka memenangi empat DUN iaitu Bandar Hilir, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Kesidang manakala PAN akan mempertahankan kemenangan dun Bukit Katil,” katanya.
Katanya lagi, kedudukan PKR di Klebang dan Machap Jaya juga dalam situasi 50-50, dan ada kemungkinan mereka akan kehilangan kerusi di Klebang tetapi berupaya memenangi Machap Jaya.
“Penolakan dan kejatuhan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap PKR turut memungkinkan mereka tidak akan memenangi sebarang kerusi dominan Melayu.
“Persaingan sebenar berlaku antara PN dan BN. Kebetulan kedua-dua gabungan politik utama ini adalah komponen Kerajaan Persekutuan. Kelebihan sebagai parti pemerintah telah digunakan sebaik mungkin untuk menjalankan kempen,” katanya.
Selain itu, Melaka menjadi medan percakaran politik jelas antara PN dan BN di mana ia tidak begitu tersembunyi dan pertembungan tersebut amat ketara dilihat semua pihak.
“Sebaran psywar BN yang dilihat dalam media maya membayangkan PN tidak akan memenangi sebarang kerusi. Ini adalah keterserlahan sifat takut BN kepada saingan.
“Perang psikologi begini membayangkan BN begitu tertekan untuk meraih sokongan dan kuasa. MCA dan MIC dijangka tewas semua kerusi ditandingi. Masih wujud penolakan besar rakyat kepada dua parti komponen BN ini,” katanya.
Pertembungan dramatik dan sengit menanti di Tanjung Bidara antara calon PN, Datuk Mas Ermiyanti Samsudin dengan calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. kerana kedua-duanya adalah ‘gergasi’ parti yang menjadi penentu kemenangan.
“Ini adalah kerusi panas utama PRN Melaka. Mas Ermiyanti adalah ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri di Persekutuan Malaysia serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.
“Walaupun isu ‘lompat parti’ dimainkan oleh BN, Mas Ermiyanti merupakan wakil rakyat yang menjalankan peranan baik di lapangan dan mesra dengan rakyat tempatan.
“Manakala Rauf berkelebihan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Melaka. Sudah pasti beliau akan menghimpunkan kekuatan jentera yang lebih di Tanjung Bidara,” katanya.
Katanya lagi, situasi kali ini sudah berbeza dek anjakan politik drastik dilalui oleh negara sejak 2018 dan agak sukar untuk UMNO-BN mengulangi kejayaan lampau seperti PRU11, PRU12 dan PRU13 meraih kemenangan lebih dua pertiga.
“Walaupun Kerajaan Persekutuan ketika ini dikepalai oleh UMNO, tetapi mereka sudah tidak ada penguasaan atau dominasi lebih sepertiga kerusi parlimen sebagaimana penggal terdahulu.
“Komitmen Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menanggani wabak Covid-19 walaupun dikecam dan diganggu-gugat politik UMNO, ia telah banyak melalui langkah pemulihan besar.
“Jika ia gagal, mana mungkin PRN Melaka dapat dilangsungkan. BN hanya menumpang usaha dan kredibiliti pemerintahan era Muhyiddin. Hal ini dikenang oleh majoriti rakyat Malaysia termasuk di Melaka,” katanya.
Tambahnya lagi, UMNO sendiri yang melancarkan gerakan ‘rampasan politik’ di peringkat Persekutuan dan usaha menjatuhkan kerajaan negeri sendiri di Melaka bukan berpunca atau dilakukan oleh PN.
“PN berupaya memenangi 16-17 kerusi pada PRN Melaka, manakala UMNO dijangka menang tujuh hingga lapan kerusi manakala PH menang lima hingga enam kerusi.
“PRN Melaka adalah ‘ujian politik’ yang menarik selepas PRN Sabah pada 26 September 2020 lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette