Home Pendapat Padanan pemindahan ilmu dan teknologi moden pacu kelestarian pertanian

Padanan pemindahan ilmu dan teknologi moden pacu kelestarian pertanian

Pusat Inovasi Agriteknologi milik UTM

DASAR Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dilancarkan pada 25 Oktober lalu yang bersifat inklusif telah memberi tumpuan khusus jaminan bekalan makanan yang berdaya tahan, selamat dan
bernutrisi.

Impak kepada dasar yang penting ini harus dijadikan panduan kepada pemain industri yang berkepentingan dan pemegang taruh dalam pertanian untuk melihat kembali peranan yang harus
digembeling bersama untuk menjayakan agenda ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang tinggi.

Keterangkuman DAN 2.0 melalui 5 teras utama berhasrat untuk mendukung pemodenan pertanian dan pengukuhan sekuriti makanan melalui pemerkasaan penyelidikan dan inovasi.

Pandemik Covid-19 banyak mengajar kita tentang peri pentingnya penjagaan kesihatan diri. Ini boleh dicapai melalui pengambilan makanan yang seimbang dan mencukupi. Komposisi pengambilan makanan semasa pandemik haruslah bernutrisi untuk memastikan masyarakat mempunyai daya imunisasi tahan kuat melawan virus.

Pemberian bakul makanan segar perlu juga ditikberatkan. Tambahan, penggunaan teknik pemprosesan yang betul mampu menjamin ketahanan kesegaran makanan terutama kepada
mereka yang terkesan dan menjalani tempoh kuarantin yang lama.

Hasil segar ladang terdiri daripada buah-buahan dan sayuran boleh bertahan kesegaran melalui teknik pemprosesan
berasaskan teknologi sejuk beku kering. Jangka hayat ketahanan produk makanan bukan sahaja dapat dijamin untuk tempoh masa yang lama malah nilai nutrisi sebenar dan aroma, rasa serta struktur tekstur asal masih boleh dilindungi sebaiknya jika dibandingkan proses pengeringan biasa.

Walaupun pembangunan produk hiliran lain berasaskan buah dan sayuran sedia ada seperti pemprosesan kepada jus minuman masih menjadi pilihan industri, adalah tidak janggal jika teknologi sejuk kering ini dipertingkatkan kadar aplikasinya kerana kelebihan yang dimilikinya.

Hasil tinjauan prediksi ekonomi diperingkat global oleh Foresight Industry Research Institute, mengunjurkan bahawa hasil berasaskan teknologi sejuk beku kering ini telah mendapat permintaan yang begitu tinggi susulan pandemik dan dijangka terus meningkat sehingga 5 tahun mendatang.

Berkonsepkan sedia untuk dimakan, Universiti Teknologi Malaysia
(UTM) melalui pusat penyelidikannya, Innovation Center In Agritechnology (ICA) giat mempromosi produk bebas bahan pengawet ini sebagai gantian snek ringan tipikal kepada yang
lebih sihat.

Selain itu, untuk memastikan jaminan sekuriti makanan negara lebih lestari, UTM melalui Konsortium Pertanian telah mengumpulkan himpunan penyelidik mencakupi kepakaran
termasuk teknologi pembangunan produk makanan, formulasi bajaan, pengekstrakan bahan aktif terpilih dan revolusi pertanian internet benda (IoT) bertujuan memacu inovasi terkini dalam
dunia pertanian serta melibaturuskan aplikasi teknologi pintar secara sinergi bagi melihat sektor ini berdaya tahan mampan.

Contoh lain, mengambil maklum kadar kecukupan negara yang belum tercapai, pengenalan varieti padi baru PadiU Putra, hasil kajian oleh UPM telah membuktikan penemuan makmal
boleh diterjemahkan bagi tujuan sekuriti makanan negara.
Dengan pendekatan University 4 Society (U4S) dan kolaborasi Quadruple Helix, aplikasi ilmu teoritikal pertanian mampu dimodenkan dan ditambah skala pengunaannya kepada lebih besar sesuai dengan realiti dunia sebenar di lapangan bagi memenuhi permintaan pengguna masyarakat teramai.

Malah, dengan sokongan daripada DAN 2.0 untuk melihat pembangunan bakat, kepakaran universiti boleh diberikan fokus dan rujukan sebagai platform yang berpotensi melatih
agroprenuer yang berteknologi tinggi.

Berbekalkan inisiatif terdahulu oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MAFI) seperti Program Agroprenuer Muda (PAM), graduan atau belia yang berkebolehan mampu dilatih
sebagai usahawan tani dengan latihan yang teratur, sebagai persiapan menjadi agroprenuer yang kompeten.

Bahkan, kerjaya sebagai agroprenuer kian mendapat tempat dikalangan golongan muda apabila menyaksikan pertambahan kelulusan pembiayaan oleh pihak AgroBank.

Kini, sokongan pembiayaan yang kondusif telah menjadi pemangkin kepada penglibatan graduan muda dalam sektor kalis kemelesetan ini. Usaha mendapatkan persijilan Halal akan dipergiatkan dan melalui Pusat Inkubator Halal yang berperanan untuk membimbing golongan usahawan tani ini supaya produk mereka mampu memenuhi permintaan pasaran global.

Komitmen kerajaan melalui JAKIM dengan perlantikan UTM sebagai salah satu pusat latihan halal telah membuktikan kepercayaan kepada kepakaran akademia menangani aspek latihan persijilan.

Sebahagian besar isu membelenggu dunia pertanian di Malaysia seperti kurangnya golongan belia menceburi bidang pertanian, varieti pokok yang tiada kerintangan penyakit, kos input
pertanian yang melambung, kurang sokongan kepada jaringan kitar pemasaran dan teknologi pempropesan produk hiliran mampu dikurangkan bebanannya jika pemindahan kajian inovasi
diperhebatkan.

Melihat kepada perkembangan positif usaha yang dimainkan oleh para penyelidik negara ketika berhadapan pandemik, gerak kerja komprehensif yang menghubungkan idea akademia perlu disemarakkan supaya pulangan tinggi dapat diraih untuk kemajuan bersama.

Buah fikiran dan hasil inovasi mereka bukan hanya untuk diraih untuk anugerah penyelidikan semata, tetapi untuk dimanfaatkan buat seluruh Keluarga Malaysia.

Tuntasnya, segala teras dan strategi yang dilakar oleh pihak MAFI harus didukung dan diterjemahkan dengan platform sedia ada di peringkat institut pendidikan tinggi negara.

Mentaliti in-silo tidak harus lagi diamalkan tidak mengira semua pihak, bahkan kerjasama bersepadu dan sinergi dengan pihak luar perlu dijadikan agenda baru padanan silang pemindahan
ilmu kerjaan-akademia-industri-masyarakat.

Oleh: Dr. Abd Rahman Jabir Mohd Din, pegawai penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia