SLOGAN “Pandu Cermat Jiwa Selamat” seringkali disebut dan kelihatan banyak papan tanda peringatan berkaitan pemanduan selamat dipamerkan di jalan raya. Namun, sejauhmanakah
penghayatan terhadap slogan dan papan tanda peringatan ini memberi kesedaran kepada para pemandu? Mutakhir, kes kematian Nur Alisha Safiya Mohd Azlin yang berusia tujuh tahun telah menjadi isu hangat diperkatakan berikutan kecuaian pemandu wanita van sekolah terbabit.
Sebelum itu, kejadian sama juga turut berlaku pada tahun 2019 di Pulau Pinang yang membabitkan pelajar lelaki tahun satu berbangsa cina yang maut digilis van sekolah ketika pulang dari sesi persekolahan. Hal ini perlu dipandang serius oleh para pemandu van atau bas sekolah untuk tidak melakukan kecuaian dan mengorbankan nyawa mereka yang masih kecil.
Kecuaian dan kesalahan semasa memandu perlu dielakkan dan tidak dilakukan sama sekali ketika di dalam tempoh pemanduan. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, kesalahan seperti penggunaan alat telekomunikasi, melebihi
had kelajuan, meminum air atau makan ketika memandu adalah merupakan antara faktor penyebab berlakunya kemalangan.
Berdasarkan statistik kemalangan pada tahun 2021 mendapati bahawa sebanyak 2421 kes kemalangan melibatkan kematian dan sebanyak 2598 angka korban kematian disebabkan kemalangan telah direkodkan. Hal ini melibatkan jumlah yang besar dan perlu diberi perhatian untuk memastikan kes kemalangan tidak terus meningkat.
Sehubungan itu, pelbagai strategi boleh dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan sepanjang keberadaan pengguna di jalan raya. Umumnya, pendedahan keselamatan di jalan raya perlu diberikan pendedahan kepada anak-anak untuk meningkatkan kesedaran anak ketika berada di jalan raya. Pendidikan terhadap kesedaran bahaya dan risiko kemalangan perlu diberi penekanan agar anak lebih berhati-hati menjaga keselamatan diri sendiri.
Hal ini telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010, hasil kerjasama pintar kementerian pengangkutan dan kementerian pendidikan sebuah program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) telah diperkenalkan secara formal terhadap murid tahun satu secara berperingkat. Para pelajar diberi pendedahan ilmu keselamatan jalan raya melalui mata pelajaran Bahasa melayu dengan wujudnya buku aktiviti PKJR untuk pelajar dan modul guru untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran yang efektif.
Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) turut melibatkan ibu bapa pelajar agar ilmu keselamatan yang dipelajari dapat digunakan apabila berhadapan dengan keadaan sebenar ketika di jalan raya. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mempunyai tahap kesedaran yang tinggi untuk memastikan keselamatan anak-anak terjaga dan terpelihara dari sebarang risiko kemalangan yang boleh berlaku sekelip mata sahaja sekiranya lalai walaupun dalam sesaat.
Selain itu, kesedaran pemandu terhadap keselamatan di jalan raya perlu diambil berat dan sentiasa menjadi peringatan sepanjang masa ketika memandu. Pematuhan had kelajuan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa perlu diikuti agar sebarang kecelakaan dapat dielakkan. Slogan “Biar Lambat Asal Selamat” menunjukkan bahawa pentingnya untuk tidak memandu secara melulu atau tergopoh-gapah sehinggakan mengundang kemalangan jiwa, kecederaan dan kematian serta merta.
Pemandu van atau bas sekolah perlu mengelakkan amalan memandu secara laju dan melulu.
Pemandu seharusnya mengamalkan sikap berhati-hati, dan membuat pemeriksaan terhadap pergerakan murid sekolah yang naik dan turun dari kenderaan serta memastikan agar mereka selamat melepasi van atau bas ke lokasi yang hendak dituju sebelum memulakan pemanduan kembali. Amalan pemanduan yang berhemah dan mematuhi had kelajuan mampu mengelakkan berlaku kemalangan. Kesedaran untuk menitikberatkan keselamatan diri, penumpang, dan pengguna jalan raya yang lain harus menjadi keutamaan sepanjang berada di jalan raya.
Oleh yang demikian, kesejahteraan pengguna jalan raya dapat diwujudkan dan keselamatan pengguna turut terjamin. Strategi seterusnya ialah mengenalpasti titik buta (blind spot) yang menjadi antara faktor penyebab mengundang kecelakaan jalan raya. Titik buta merupakan kawasan yang tidak dapat dilihat secara langsung oleh pemandu. Kawasan titik buta ini melibatkan di tepi dan belakang kenderaan.
Oleh itu, para pemandu perlu mengambil langkah untuk memastikan kawasan blind spot dapat dilihat dengan jelas bagi mengelakkan pelanggaran pada kenderaan lain sama ada di bahagian tepi mahupun di belakang kenderaan. Kini, teknologi ciri keselamatan kenderaan telah dipertingkatkan dengan kelengkapan ciri keselamatan titik buta di bahagian cermin sisi kereta dan cermin belakang kereta.
Namun, bagi kenderaan yang tidak memiliki ciri keselamatan tersebut boleh menambah cermin di bahagian sisi bagi mendapat penglihatan jelas kawasan titik buta. Antara perkara yang perlu dititikberatkan untuk menjadi pemandu berhemah ialah sentiasa peka dengan persekitaran.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, peka membawa maksud menyedari dengan sesungguhnya sesuatu perkara, menghayati sesuatu dan sensitif. Oleh itu, pemandu seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan tanpa melakukan sebarang aktiviti lain selain dari memandu.
Hal ini kerana kecuaian yang melibatkan penggunaan telefon bimbit seperti membuat panggilan telefon dan menaip mesej ketika memandu juga melakukan sesuatu aktiviti lain ketika memandu menjadi asbab sesuatu kemalangan berlaku.
Pengalihan fokus kepada perkara lain ketika pemanduan merupakan suatu perkara yang bahaya kerana risiko kecelakaan boleh berlaku di mana-mana sahaja dengan melibatkan pengguna jalan raya yang lain. Sekiranya tahap kepekaan dapat ditingkatkan, sesuatu kemalangan boleh dielakkan.
Antara strategi lainnya ialah kesiapsagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Lazimnya, kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan pemandu tidak dapat menjangka atau menduga kecelakaan yang akan berlaku.
Justeru, pentingnya beberapa perkara diberi penekanan dengan mengamalkan strategi memperbesarkan zon medan penglihatan di bahagian sekeliling kereta, sentiasa berwaspada untuk elak berlaku kelalaian, meluaskan jarak penglihatan di kawasan hadapan sejauh yang mungkin bagi dapat melihat sebarang ancaman dan risiko kecelakaan serta memberi sepenuh penumpuan terhadap pemanduan tanpa melakukan
sebarang aktiviti.
Selain itu, pemandu disarankan untuk memandu dalam keadaan segar dan sedar sepenuhnya. Hal ini bagi mengelakkan berlaku micro sleep atau terlelap seketika apabila sedang memandu. Faktor badan yang letih dan mengantuk boleh mengundang kepada kemalangan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Hal yang demikian perlu dielakkan sama sekali dari berlaku dengan cara berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau di kawasan selamat untuk tidur seketika sebelum memulakan perjalanan kembali.
Sementelahan itu, pembacaan doa menaiki kenderaan juga boleh dipratikkan setiap kali menaiki kenderaan untuk memohon perlindungan dari Allah SWT dari sebarang musibah. Tuntasnya, kecuaian dan kemalangan jalan raya dapat dielakkan sekiranya mematuhi undang-undang jalan raya di samping mengamalkan strategi keselamatan.
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Justeru, setiap pengguna jalan raya seharusnya menerapkan nilai kesedaran yang tinggi dalam diri untuk mengambil iktibar dan peringatan dari setiap perkhabaran berita kemalangan yang berlaku. Belajar untuk mengenal pasti langkah berjaga-jaga dari melakukan kesalahan dan kecuaian yang sama ketika memandu.
Bak kata bidalan melayu “Sesal Dulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna” perlu menjadi peringatan agar setiap musibah dapat dicegah dan mengelak dari penyesalan seumur hidup.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)