BATU BERENDAM – Penyandang kerusi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilihat masih lagi berkempen dengan merayu pengundi untuk memilih dirinya sebagai wakil rakyat.
Ketika ditemui media di pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama JAIM, Taman Datuk Thamby Chik Karim di sini, beliau yang datang dengan menaiki motosikal meminta agar pengundi-pengundi memilih dirinya jika mahu melihat beliau membawa masalah rakyat di dalam sidang DUN.
“Ketika empat lagi calon di Pengkalan Batu sibuk menabur janji, saya telah menabur khidmat saya.
“Insya-Allah hari ini rakyat akan tentukan. Saya merayu sekali lagi untuk pengundi saya, jika anda mahu melihat saya di DUN, undilah saya.
“Saya merayu agar diberi ruang dan peluang untuk terus membawa suara rakyat Melaka. Saya berjanji untuk menjadi wakil rakyat (yang baik) untuk Pengkalan Batu.” katanya hari ini.
Bagaimanapun, tindakan beliau itu dilihat bercanggah dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi membenarkan calon-calon bertanding untuk berkempen dalam apa-apa jua platform pada hari mengundi.
Beliau mungkin telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ekoran tindakannya itu.
Norhizam yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka ‘menawan’ kerusi Pengkalan Batu di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,756 dan dilantik sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan Negeri.
Pada PRN Melaka, Norhizam akan berdepan pertembungan lima penjuru dengan calon muda Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN). – MalaysiaGazette