KOTA ISKANDAR – Sektor perkhidmatan terutamanya melibatkan perdagangan borong dan runcit, hotel, restoren serta pengangkutan antara yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk penutupan sempadan.
Menteri Besar,Datuk Hasni Mohammad berkata, ia dapat dilihat menerusi penurunan pada kadar 3.4 peratus bagi keseluruhan sektor perkhidmatan di negeri itu.
“Oleh itu, bagi memastikan masalah ini tidak berterusan, kerajaan negeri telah melaksanakan Tiga Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor keseluruhannya setakat 31 Oktober lalu berjumlah RM400 juta.
“Ia telah dimanfaatkan oleh seramai 1.2 juta penerima,” katanya pada mesyuarat kedua (Belanjawan 2022) Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di sini hari ini.
Hasni berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas, Tuan Yeo Tun Siong mengenai kerugian yang dialami negeri Johor akibat penutupan sempadan Johor – Singapura sepanjang pendemik Covid-19 dan langkah kerajaan mengatasinya.
Selain itu, katanya juga, dalam Belanjawan Johor 2022 juga, tumpuan akan terus diberikan kepada golongan terjejas dalam pelbagai sektor ekonomi.- MalaysiaGazette