Home Politik Kemenangan DUN Gadek bukti rakyat mahukan MIC – Mohana

Kemenangan DUN Gadek bukti rakyat mahukan MIC – Mohana

Datuk Mohana Muniandy

MELAKA – Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy melahirkan rasa gembira  apabila  rakyat telah mengembalikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Kata beliau kepada MalaysiaGazette, antara kejayaan yang paling menggembirakan apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N07 yang sebelum ini penyandangnya DAP kini kembali kepada MIC.

“Saya bukan hendak bermegah atau bercakap besar selepas kemenangan dua pertiga BN sebaliknya inilah suara hati rakyat pada hari ini. Mereka sudah muak dan kecewa dengan semua retorik, fitnah dan janji diberikan pembangkang.

“Undi dan sokongan telah dikembalikan kepada ‘dacing’ kerana rakyat khususnya di Melaka tahu kestabilan dan kemakmuran itu hanya boleh direalisasikan oleh BN.

“Terima kasih rakyat Melaka, terima kasih Gadek. Ini adalah perasaan indah dan pastinya memberi seribu satu makna kepada saya yang baharu sahaja kembali jawatan Ketua Wanita MIC, dalam beberapa jam selepas kemenangan saya telah turun ke Gadek sehinggalah kita menang.

“Selepas ini, kami berikrar akan terus bukan menjadi telinga, mata rakyat sebaliknya menyelami dan memastikan adanya penyelesaian kepada setiap yang dilalui oleh masyarakat. Apa yang kita janji itu kami akan sedaya upaya realisasikan, itu ikrar kami,” katanya hari ini.

Lewat malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi DUN.

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Susulan daripada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), jam 12.58 tengah malam tadi dan dilangsungkan secara tertutup.

Dalam pada itu kata Mohana, Gadek telah dikembalikan kepada BN dan MIC sekaligus telah memberikan kepercayaan cukup besar serta bernilai dan tidak akan sesekali disia-siakan.

“Kita ucapkan tahniah kepada YB Shanmugam, kini terpulang kepada anda untuk memastikan segala kebajikan, janji dan ikrar anda kepada warga Gadek itu dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, kemenangan MIC di Gadek dengan calon tunggalnya, VP Shanmugam setelah mengalahkan penyandangnya, G Saminathan dengan perbezaan undi sebanyak 559 telah membawa sinar harapan kepada MIC.

Sebelum ini, ketika pada 2018 MIC gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas calonnya P Panirchelvam kalah kepada Saminathan dengan hanya majoriti 307 undi dengan seramai 12,922 pengundi berdaftar di DUN berkenaan ketika itu. -MalaysiaGazette