Home Seni Hidup TMYIC akan diperluaskan di Kluang dan Pasir Gudang

TMYIC akan diperluaskan di Kluang dan Pasir Gudang

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli merasmikan pada Majlis Perasmian Festival OMJ (OMJ FEST 21) di TMIYC di Hutan Bandar di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor merancang untuk memperluaskan hab aktiviti belia, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) ke daerah Kluang dan Pasir Gudang menjelang tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perancangan tersebut merupakan salah satu usaha di bawah agenda Orang Muda Johor (OMJ) dalam Belanjawan 2022.

“TMIYC memainkan peranan penting sebagai hab aktiviti belia. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan merangka dasar berkenaan konsep pembangunan dan aktiviti TMIYC di setiap daerah.

“Berpandukan kekuatan setiap daerah, saya yakin komponen TMIYC yang dibangunkan akan memenuhi keperluan dan kehendak Orang Muda Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Festival OMJ (OMJ FEST 21) di TMIYC di Hutan Bandar di sini semalam.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli merasmikan festival tersebut.

OMJ Fest 21 akan diadakan di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di 10 daerah dengan lebih 80 program dianjurkan melibatkan golongan belia.

Festival itu berlangsung hingga penghujung Disember ini dan dijangka dapat menarik sehingga 100,000 penyertaan.

Menteri Besar berkata, pelbagai inisiatif berteraskan sukan menerusi pembabitan atlet dan masyarakat juga akan dijalankan dengan peruntukan RM14.5 juta.

“Kerajaan negeri juga akan membantu mahasiswa menerusi program Internet Mahasiswa Johor, Skim Bantuan Pendidikan, pinjaman pelajaran, Program Johor ‘Upskilling & Reskilling’, Latihan Lepasan Siswazah Johor, ‘Johor Skills Oil & Gas’ dan Pensijilan Tenaga Mahir Johor.

“Semangat perpaduan dan kenegaraan dalam kalangan modal insan Johor akan diberi tumpuan dalam inisiatif berkaitan Pemerkasaan Rukun Tetangga, Generasi Muda dan Perpaduan Kaum dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” katanya. – MalaysiaGazette