Home Nasional Dr Akmal sediakan platform aduan dalam talian untuk penduduk Merlimau

Dr Akmal sediakan platform aduan dalam talian untuk penduduk Merlimau

ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Salleh beramah mesra dengan masyarakat setempat selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN N.27 Merlimau di Pasar Tani Merlimau, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 NOVEMBER 2021.

MERLIMAU – Bemula minggu depan, rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau boleh mengadukan sebarang masalah melalui platform media sosial yang dijamin mendapat reaksi dalam tempoh 24 jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang baharu, Dr Muhammad Akmal Salleh berkata, usaha mewujudkan platform itu sedang dibuat melalui Facebook, Instagram dan Twitter pasukan medianya dalam masa satu atau dua hari lagi.

Menurutnya, aduan secara online itu akan dipantau setiap hari termasuk oleh beliau sendiri yang akan menjadikannya rutin harian untuk berada lebih dekat dengan rakyat.

“Sebenarnya tujuan kita hendak kurangkan birokrasi bila ramai yang cakap nak jumpa YB (Yang Berhormat) susah. Jadi dalam satu atau dua hari ini kita akan buat platform aduan secara dalam talian yang akan dipantau pegawai media atau saya sendiri.

akmal”Komitmen kita adalah setiap aduan akan mendapat respon dalam tempoh 24 jam walaupun ia mungkin perlukan lebih masa untuk diselesaikan tapi kita mahu kurangkan birokrasi dan tingkatkan kualiti.

“Kita lihat, berdasarkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak 12 hari lalu, capaian di media sosial ini juga benar-benar sampai ke rakyat di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyantuni peniaga pasar pagi di Medan Selera Bandar Baru Merlimau di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Jasin serta Naib Ketua Pemuda Umno Melaka sebelum ini berkata, melalui cara itu juga, rakyat tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada cara konvensional bertemu wakil rakyat di pejabat semata-mata.

Selain itu, jelasnya sebagai wakil rakyat termuda BN yang baru berusia 33 tahun, beliau turut berhasrat menjadikan Merlimau sebagai hub permotoran dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita pun dah tengok tempat yang sesuai dan rancangan ini juga telah dimasukkan dalam manifesto saya selain mahu mewujudkan taman rekreasi keluarga di sini kerana jumlah penduduknya yang tinggi.

“Sebagai Yang Berkhidmat, saya adalah saya adalah wakil rakyat untuk semua lapisan masyarakat dan suara orang muda juga tentunya akan diangkat menjadi satu polisi kepada negara,” katanya.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan kemenangan besar BN di 21 kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Daripada 21 kerusi dimenangi BN, 18 adalah daripada UMNO, MCA dua kerusi manakala MIC memenangi kerusi tunggal mereka di DUN Gadek.

Lima kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan pecahan, empat kerusi dimenangi DAP (Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir) manakala Amanah berjaya memperolehi satu kerusi di DUN Bukit Katil menerusi Calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari.

Perikatan Nasional menang dua kerusi di DUN Sungai Udang dan Bemban. – MalaysiaGazette