Home Ekonomi Perodua Axia kini dengan enjin VVT-I

Perodua Axia kini dengan enjin VVT-I

Perodua Axia baru dengan enjin VVT-I.

KUALA LUMPUR – Perodua memperkenalkan model Axia berwajah baharu dengan enjin VVT-I, berbanding enjin semasa (KR Engine) serta ciri-ciri yang lebih baik.

Enjin VVT-I ini akan meningkatkan lagi kecekapan bahan api bagi varian baharu ini dengan penjimatan sehingga 22.5Km/L dalam mod pemanduan Eko, berbanding 21.6Km/L (transmisi manual) pada model Axia sedia ada.

Penambahbaikan lain untuk Axia Standard termasuk jeriji depan dan bumper gaya baharu; pemegang pintu belakang; reka bentuk fabrik kerusi baharu serta dilengkapi dengan lampu projektor hadapan.

Perodua Axia Standard-G kini didatangkan dengan slot USB, manakala Axia SE dan Advance pula dilengkapi dengan jeriji depan dan bumper gaya baharu; butang tekan start/stop; sistem akses pintar dengan kunci pintar; sistem multimedia dengan Smart Link (untuk android sahaja); reka bentuk lampu projektor depan baharu; pemegang pintu luar chrome; roda aloi bentuk spiral; pemegang pintu belakang; reka bentuk fabrik kerusi baharu (SE) serta meter kombinasi baharu dengan warna putih.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr. Zahari Husin berkata, Perodua Axia adalah model paling laris sejak 2014 dan percaya nilai tambah di dalam varian ini akan dapat menarik minat pelanggan.

Sebanyak 214,700 unit Perodua Axia telah dijual sejak ia dilancarkan pada bulan September 2014, menjadikan ia kenderaan EEV No.1 di Malaysia.

Pada 2016, kenderaan kompak ini terjual sebanyak 85,900 unit. Perodua mensasarkan jumlah jualan purata bagi Perodua Axia ini sebanyak 6,000 unit sebulan.

Menurut beliau, Perodua Axia (Standard) didatangkan dengan warna Ivory White, Glittering Silver, Ebony Black dan Midnight Blue.

Warna Lemongrass Green dan Cherry Blossom yang diperkenalkan semasa pelancarannya pada September 2014 lalu telah ihentikan.

Bagi varian SE dan Advance, ia mempunyai dua warna tambahan berbanding Axia Standard-G iaitu Solid Sunflower Yellow dan Metallic Lava Red.

Harga untuk Semenanjung Malaysia bagi varian Perodua Axia baharu bermula dari RM24,900 bagi Standard-E (manual) dan RM42,900 bagi Advance (automatik).

Tempahan untuk model Axia terbaharu ini telah dibuka sekarang.

Dengan tambah nilai yang ada di dalam varian ini, Perodua tetap memastikan harga yang ditawarkan adalah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette