KUALA LUMPUR – Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO diingatkan membetulkan niat menyertai politik terlebih dahulu sebelum bercita-cita menawarkan diri sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, sekiranya mereka ini hanya mengejar habuan semata-mata, ia akan menyukarkan parti pemerintah untuk kekal berkuasa.
“Saya yakin mereka sendiri tak tahu sebenarnya untuk apa mereka ini menjadi calon.
“Mereka ini menjadi calon dan wakil rakyat untuk mendapat habuan-habuan tertentu contohnya projek, apa saja untuk mementingkan diri mereka sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Jamal berkata, mereka tidak bertanggungjawab itu menyalahgunakan tiga slogan iaitu perjuangan berlandaskan agama, bangsa dan negara yang dilaungkan setiap kali berceramah kepada rakyat untuk kepentingan diri.
“Mereka menjadikan tiga slogan itu hanya sebagai retorik tetapi menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan mereka dan meletakkan diri mereka dipilih sebagai calon dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya.
Katanya lagi, pemimpin BN dan UMNO berniat songsang ini melakukan pelbagai helah untuk dipilih menjadi calon untuk mengaburi mata semua pihak terutamanya pucuk pimpinan parti.
“Pelbagai kaedah mereka lakukan, baru sekarang ini muncul di bahagian-bahagian tertentu sama ada di DUN ataupun Parlimen.
“Ada yang tunjukkan kononnya mereka ini antara orang mengambil tahu tentang permasalahan rakyat setempat, keluar membuat ceramah dan memberi sumbangan,” dedah Jamal.
Lebih malang, kata Jamal, apabila wujud kem-kem tertentu dalam satu bahagian yang bersaing sesama sendiri berebut menjadi calon dan jika terpilih mereka akan diboikot dan tidak mendapat sokongan.
“Kebanyakan yang beria-ia nak jadi calon ini adalah muka-muka sama, mungkin sekarang ini sebagai ketua bahagian, timbalan ketua bahagian atau naib ketua bahagian dan ketua-ketua sayap.
“Mereka menggunakan kedudukan dan jawatan dalam parti untuk bertanding. Tapi apabila ada persaingan tidak sihat dan akhirnya menjerumus, contohnya ketua bahagian bertanding, kumpulan timbalan atau naib tidak akan menyokong,” ulasnya.
Dedah Jamal, tindakan itu didorong oleh timbulnya kebimbangan kedudukan mereka dalam parti dan bahagian tergugat apabila orang bawahannya menjadi wakil rakyat dan mencabar jawatannya dalam pemilihan UMNO.
“Mereka bimbang selepas pilihan raya, akan ada pemilihan UMNO di peringkat bahagian. Kalau timbalan menjadi calon dan wakil rakyat, pemilihan akan datang sudah pasti timbalan akan melawan pula ketua bahagian.
“Selama saya menjadi ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, inilah perkara saya lihat, apa yang diluah dan diperkatakan, cakap tidak serupa bikin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette