Home Nasional CDERT-APM Ketereh siap sedia hadapi banjir Kelantan

CDERT-APM Ketereh siap sedia hadapi banjir Kelantan

Komander CDERT APM Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful (empat dari kiri) menerima khemah bagi kegunaan pusat pemindahan banjir daripada Kapt. Md. Fadir.

KUALA LUMPUR – Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM) Ketereh di Kelantan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi banjir musim tengkujuh.

Hujan lebat yang melanda negeri itu menyebabkan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang naik ke paras amaran.

Pegawai Memerintah Pasukan CDERT-APM Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, paras amaran di sungai utama tempat menyukat banjir akan menjadi penentu untuk pasukan itu bersiap sedia.

“Cuaca hujan yang tidak menenti sejak kebelakangan ini menyebabkan paras amaran di Sungai Golok, Rantau Panjang sudah naik ke paras amaran.

“Seperti lazimnya, paras air ini termasuk di sungai sekitar Kelantan menjadi amaran awal bagi pasukan ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan lebih-lebih lagi apabila berada dalam musim tengkujuh sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan petugas banjir itu dilancarkan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Kapten (PA) Md. Fadir Md. Nor.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Kompeni Perubatan, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nurul Ain Razali dan Ketua Kompeni CDERT APM DUN Melor, Mejar Bersekutu (PA) Wan Muhammad Faisal Wan Zin.

Kata Nik Saiful, kursus khas pengurusan banjir itu meliputi skop kawasan Parlimen Ketereh melibatkan DUN Melor, Kok Lanas dan Kadok diadakan.

Kursus itu menurut beliau, diadakan dengan kerjasama Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Kota Bharu di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor dengan dihadiri 60 pegawai dan anggota sukarelawan CDERT APM Ketereh.

Awal bulan ini, pasukan CDERT-APM Ketereh dengan kerjasama PPAD Kota Bharu telah melatih seramai 25 anggota sukarelawan APM baharu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Latihan dua hari itu merangkumi persiapan sebelum banjir, operasi menyelamat mangsa, pengurusan pusat pemindahan sementara dan lain-lain kemahiran melibatkan pengurusan bencana.

“Ini adalah tahun ketiga pasukan ini terlibat dengan operasi banjir.

“Pasukan CDERT APM Ketereh ini pasukan sukarelawan APM pertama ditubuhkan melibatkan komuniti di Kelantan dan merupakan pasukan sukarelawan APM paling aktif di Malaysia sejak 2019,” katanya. – MalaysiaGazette