KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan amat terkejut dan kecewa dengan keputusan Peguam Negara yang membatalkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Mansor daripada dakwaan kes rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.
Tindakan membatalkan rayuan ini mewujudkan persepsi yang sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara, malah mencemarkan kredibiliti dan kebebasannya untuk menjalankan tugas rasmi secara profesional.
Majlis Presiden juga akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan, khususnya Perkara 4 berhubung Kebebasan Institusi Kehakiman.
Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan keputusan Peguam Negara berhubung isu Tengku Adnan adalah salah dan amat mengecewakan.
”Kami menyedari bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada menarik balik rayuan tersebut atau tidak.
”Namun, di dalam kes ini yang melibatkan pertuduhan kewujudan unsur-unsur rasuah terhadap seorang Ahli Parlimen dan seorang bekas Menteri Persekutuan, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar dan dihakimi sehinggalah segala process perundangan yang dibenarkan telah dilalui sepenuhnya,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat), Mohamad Sabu (PAN), Lim Guan Eng (DAP) dan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO).
Jelas mereka, Majlis Presiden akan terus meneliti tindakan-tindakan seperti ini dan mempertimbang langkah-langkah yang akan diambil sehingga kedudukannya dipertikaikan dan kewibawaannya tercalar.
Sekiranya Peguam Negara tidak dapat menjustifkasikan keputusannya maka beliau harus letak jawatan. – MalaysiaGazette
Masa Tommy Thomas gugur pendakwaan terhadap Lim Guan Eng…Majlis Presiden terkejut tak? kih3