Home Nasional Polis Melaka keluarkan kompaun RM120,000 sepanjang tempoh kempen

Polis Melaka keluarkan kompaun RM120,000 sepanjang tempoh kempen

Abdul Majid Mohd Ali

MELAKA – Polis Melaka mengeluarkan sembilan kompaun bernilai RM120,000 kepada pelbagai parti politik kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 hingga 19 Nov lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh berkenaan kerana melakukan pelbagai kesalahan melibatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka di bawah Akta 342 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan COVID-19 seperti berhimpun dan sebagainya manakala 18 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Secara keseluruhan, sepanjang tempoh kempen, hari mengundi dan pengumuman kemenangan parti politik, tiada sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang dan SOP yang dilaksanakan sepanjang PRN Melaka menjamin kesihatan awam dan menyuburkan demokrasi menerusi pelaksanaan pilihan raya.

Katanya, PRN Melaka dilihat mencapai matlamat ditetapkan kerajaan iaitu mengawal kesihatan awam menerusi SOP ketat dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan penguat kuasa terlibat.

Abdul Majid berkata, Polis Melaka juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang turut memberi kerjasama dengan mematuhi SOP PRN ditetapkan.

“Rakyat Melaka hebat kerana tidak terbawa-bawa sentimen politik sebaliknya mereka lebih mementingkan kesihatan awam dan keselamatan,” katanya.

Pada PRN Melaka, Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh dua kerusi DUN. – MalaysiaGazette