BENTONG – Polis menahan seorang pemandu lori yang dipercayai membawa rokok seludup di Kilometer 55.2 Lebuhraya Karak, arah Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu yang diupah sebanyak RM1,500 untuk membawa rokok seludup dari Kemaman ke ibu negara itu diarahkan mengambil lori di deretan kedai.
Suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu diiringi rakannya berusia 30 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla.
“Hasil siasatan menjumpai 333 kotak (besar) yang mengandungi enam jenis rokok yang tidak dibayar cukai kastam bernilai RM3.3 juta.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan kali pertama melakukan kesalahan jenayah, serta hasil ujian air kencing didapati negatif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Yusri, suspek ditahan reman selama empat hari mulai 20 sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
Tambah beliau, suspek berhadapan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang kes atau RM 100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali danda nilai barang kes atau RM 500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Jelasnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan rokok, termasuk sebuah kereta Toyota Corolla dan lori muatan 5 tan berjumlah RM3.5 juta.
Mohd Yusri berkata, ia merupakan rampasan rokok tidak berbayar cukai terbesar di Pahang pada tahun ini. – MalaysiaGazette