KUALA LUMPUR – Golongan belia kini semakin cenderung memilih bidang keusahawanan sebagai karier dalam usaha menjana pendapatan tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan di sektor awam atau pun swasta.
Perkembangan menarik ini dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, dalam satu temubual bersama MalaysiaGazette baru-baru ini.
Katanya, bidang keusahawanan membantu golongan belia menjana pendapatan malah kerjaya itu merupakan pilihan yang berdaya maju.
Lebih penting lagi, kemunculan lebih banyak usahawan belia mampu menyelesaikan masalah pengangguran yang agak membimbangkan sejak Covid-19 melanda negara tahun lalu.
Prihatin dengan potensi golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan, ia sekali gus mencipta peluang rantaian kerja. Kerajaan di bawah Bajet 2022 juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif terutamanya yang ada hubung kait dengan dunia digital.
Menerusi Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM150 juta disediakan untuk pembiayaan keusahawanan belia melalui Agrobank dan Bank Simpanan Nasional bagi meningkatkan sosioekonomi dan sumber pendapatan usahawan belia.
Ahmed Faris turut menarik perhatian kepada kempen ‘Shop Malaysia Online’ dan ‘Go-eCommerce Onboarding’ dengan peruntukan RM250 juta untuk menggalakkan usahawan belia beralih kepada platform digital yang sesuai dengan tuntutan zaman.
Pada masa sama, katanya kerajaan turut menyediakan dana Skim Geran Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM200 juta yang terbuka untuk dimanfaatkan oleh golongan belia.
Bajet 2022 dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion dibentangkan pada 29 Oktober lalu bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.
Mengulas lanjut, Ahmed Faris berkata Bajet 2022 memperlihatkan usaha kerajaan membimbing usahawan belia menggunakan platform teknologi digital dalam mengembangkan kemahiran dan meningkatkan peluang pendapatan mereka.
Inisiatif tersebut didorong oleh tuntutan semasa yang menekankan pentingnya pembabitan teknologi digital sebagai penggerak ekonomi utama pada masa akan datang.
Peruntukan kewangan yang tinggi itu adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan kepada usahawan belia supaya mereka dapat menggunakan digitalisasi sebagai platform dalam perniagaan.
“Bajet 2022 juga memberikan tumpuan kepada impak sosial bagi golongan belia yang gemar membantu masyarakat sebagai usahawan sosial menerusi aktiviti pertubuhan bukan kerajaan masing-masing atau bekerja dengan yayasan,” katanya.
Ia selaras dengan keprihatinan masyarakat belia terhadap alam sekitar dan keinginan mereka untuk menghulur tangan bagi kerja-kerja kebajikan dan alam sekitar.
“Untuk tahun 2022, kerajaan meneruskan pengecualian cukai untuk usahawan sosial selama tiga tahun sekaligus membantu mereka dalam bidang ini.
“Tahun lepas pula sudah ada usaha untuk membantu usahawan sosial menjadi pembuat perubahan yang lebih berdaya saing dengan menyediakan dana kepada mereka,” katanya.
Impact Integrated merupakan organisasi induk kepada Impact Malaysia, Rakita 107.9, Spacerubix, Picksum, Esports Integrated, dan mySukan TV yang memangkin pembangunan dan inovasi belia di negara ini. – MalaysiaGazette