Home Nasional Penurunan had umur belia kepada 30 tahun tidak sesuai – HYO

Penurunan had umur belia kepada 30 tahun tidak sesuai – HYO

Presiden HYO, Ananthan Subramaniam

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO) kesal dengan pengumuman kerajaan menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula 1 Januari 2022.

Presiden HYO, Ananthan Subramaniam berkata, pengumuman oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu amat tidak disenangi dan sukar diterima pelbagai pihak.

Jelas Ananthan, perubahan itu perlu dilakukan dengan teratur, di samping mengambil kira pelbagai realiti semasa

Lagipun, jika dibuat agak drastik, dibimbangi boleh menjejaskan kesinambungan kepimpinan sedia ada yang sudah terlatih kerana kebanyakan pelapis berusia lebih 30 tahun.

“HYO mengalu-alukan polisi-polisi dan dasar kerajaan yang memanfatkan dan membangunkan belia Malaysia dari semua aspek.

“Tetapi pada masa sama, tindakan tergesa-gesa menurunkan had usia maksimum belia dikesali kerana dibuat tanpa ada apa-apa soal selidik dengan kepimpinan badan belia sendiri.

“Kita percaya belia muda dapat memikir secara proaktif dan meneroka laluan serta menjadi perintis Revolusi Perindustrian 4.0 di Negara kita. Namun, penurunan had umur belia perlu dilaksanakan secara berperingkat dan teratur.

“Had umur 15-35 tahun adalah solusi terbaik dan munasabah kerana transisi kepimpinan berlaku apabila belia menamatkan pengajian dan mula stabil dalam kehidupan memudahkan mereka memikul tanggungjawab sebagai pemimpin secara sukarela,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Pelaksanaan had umur ini bukan baharu sebaliknya tercetus ketika menteri era kerajaan Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada 2019 lalu.

Tetapi dibantah keras banyak organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun berbanding cadangan asalnya hanya setakat 35 tahun.

Cadangan itu tidak dilaksanakan ketika kementerian itu diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetapi diteruskan apabila diambil alih Ahmad Faizal pula.

Kata Ananthan lagi, pertubuhan belia di akar umbi perlu menyediakan pelapis agar kekal melahirkan belia yang menjadi rakan strategik pembangunan negara.

“Penurunan had umur secara drastik mungkin akan menyebabkan ketidakaktifan pertubuhan belia akar umbi yang sedang membangun, sekali gus akan menjejaskan pembangunan belia positif di semua peringkat.

“Kita sangatlah berharap kerajaan akan segera memperhalusi semula keputusan penurunan had umur belia bagi memastikan kelancaran kesinambungan rantai kepimpinan.

“HYO berharap perkara ini dibincang secara bersama Badan Gabungan Belia melibatkan ramai pihak berkepentingan dan mencapai pemahaman secara konsensus,” ujarnya. -MalaysiaGazette