Home Politik Rakyat mahu keluar dari pandemik, bukannya PRU15 – Ahmad Faizal

Rakyat mahu keluar dari pandemik, bukannya PRU15 – Ahmad Faizal

The Minister of Youth and Sports, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu speaks to the media after sending off Team Todak and Team SMG for the Mobile Legends: Bang Bang M3 World Championship at the Kuala Lumpur International Airport (KLIA) in Sepang, Selangor. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 23 NOVEMBER 2021 GE15 15th General Election
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Rakyat pada masa ini lebih selesa untuk melihat kerajaan terus fokus berkhidmat dan bukannya berpolitik.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga yakin rakyat hanya mahu keluar dari pandemik Covid-19 berbanding memikirkan tentang PRU15.

“Saya berpandangan sekarang ini rakyat selesa untuk melihat kerajaan lebih fokus kepada memberi perkhidmatan kepada rakyat, pastikan kita dapat keluar dari pandemik ini secara selamat, ekonomi dapat dinaikkan dan pekerjaan dapat disediakan.

“Ini yang rakyat lebih mahukan daripada negara terlalu berpolitik. Jadi saya fikir semua orang politik ada peranan untuk memberi tumpuan kepada perkara yang amat rakyat perlukan sekarang ini.

“Kalau kita adakan PRU15 dalam masa terdekat ini saya tak nampak kita boleh selesaikan permasalahan rakyat yang utama,” katanya ketika mengulas saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Beliau ditemui pemberita selepas acara pelepasan peserta e-sport bagi kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M3 World Championship di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau mencadangkan PRU15 disegerakan bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat rakyat.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyatakan parti tersebut tidak akan mengambil sikap tergopoh-gapah meminta supaya PRU15 diadakan segera.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, segala keputusan mengenai pembubaran Parlimen sekiranya ingin memberi laluan kepada PRU15 hanya boleh ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai perdana menteri, jadi kuasa untuk membubarkan dewan itu semua ada pada seorang perdana menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

We can’t say much, terpulang kepada Perdana Menteri,” ujarnya. – MalaysiaGazette