Home Nasional PBT disaran kerjasama dengan IWK teroka inovasi kurangkan beban sumber air bersih...

PBT disaran kerjasama dengan IWK teroka inovasi kurangkan beban sumber air bersih – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man menandatangani plak pada Majlis Perasmian Galeri Pembentungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Sempena Hari Tandas Sedunia 2021.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran agar bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bagi menerokai pelbagai inovasi baharu dalam usaha mengurangkan beban sumber air bersih.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bertujuan untuk meminimum dan melestarikan alam sekitar serta air di Malaysia.

“Justeru, saya menyarankan kepada semua PBT agar bekerjasama dengan IWK sama ada dengan menyiram pokok-pokok menggunakan air kumbahan dirawat,” katanya pada Majlis Perasmian Galeri Pembentungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Sempena Hari Tandas Sedunia 2021.

Tuan Ibrahim yakin IWK berupaya menghasilkan efluen terawat yang menepati piawaian ditetapkan.

Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pembetungan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Keenam iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua.

Menurut beliau, perkhidmatan pembetungan juga merupakan salah satu komponen kritikal dalam merealisasikan Transformasi Sektor Air 2040, yang disokong melalui pelaburan berjumlah RM800 juta di bawah  Rolling Plan kedua (RP2) tahun 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Objektif utama pelaburan besar tersebut diperuntukkan adalah bagi memodenisasikan sistem pembetungan awam dengan menggunakan teknologi termaju serta perluasan liputan perkhidmatan terutama di luar bandar secara ‘off-grid’,” tambahnya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, peningkatan kualiti perkhidmatan sudah tentu akan memberi kesan kepada kos operasi.

Ujarnya, justeru itu kelestarian sumber air dan kesihatan awam amat bergantung kepada kapasiti kewangan IWK dalam usaha melaksanakan tanggungjawab dan seterusnya mensejahterakan kualiti hidup rakyat

“Kita menyedari, cabaran utama IWK dalam memastikan aset pembetungan beroperasi secara optimum ialah kenaikan kos tahunan untuk menaik taraf sistem selari dengan teknologi termaju bagi menepati piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” kata Tuan Ibrahim.

Dalam masa yang sama, bersempena sambutan Hari Tandas Sedunia yang bertemakan Menghargai Tandas tahun ini, Menteri Alam Sekitar dan Air itu menyeru masyarakat supaya mengutamakan kebersihan tandas. – MalaysiaGazette