Home Politik Jentera BN perlu berani tangkis fitnah – Annuar

Jentera BN perlu berani tangkis fitnah – Annuar

Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO perlu mengatasi sindrom memandang rendah kemampuan sendiri dalam usaha menangkis fitnah yang dilempar pihak pembangkang terutamanya di media sosial.

Annuar Musa

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jentera parti mesti mempunyai keyakinan dan keberanian dalam usaha menepis dakwaan dan sentimen kebencian yang ditanam pihak pembangkang melalui gerakan kempen mereka.

“Kita mesti atasi masalah psikologi iaitu jangan bergerak ke hadapan tanpa mempunyai mentaliti kemenangan sedangkan kita mempunyai kelebihan dalam banyak perkara,” katanya sewaktu menjadi salah seorang panel pada sesi ‘townhall’, Dialog Perjuangan4all di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut menjadi panel Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Exco Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan.

Annuar berkata, pendekatan seperti sesi dialog secara terus bersama masyarakat membuktikan ketegasan BN yang tidak gentar menepis fitnah dan menegakkan kebenaran.

Sesi ‘townhall’ yang julung kali diadakan itu merupakan pendekatan baru untuk memberi penjelasan kepada masyarakat umum dan akar umbi mengenai kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dan dasar pentadbiran kerajaan BN.

Dialog di parlimen Wangsa Maju itu dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, pemimpin pelajar, pemimpin NGO setempat dan aktivis belia.

Sementara itu, kata Annuar, siri jelajah Dialog Perjuangan4all akan diperluaskan ke seluruh negara bermula dengan 10 lokasi terawal antaranya Sepang dan Sungai Besar.

Sesi dialog berkenaan dijangka akan dilaksanakan pada setiap minggu dengan sasaran 80 hingga 100 siri dialog.

Pada sesi dialog malam tadi, Annuar juga menegaskan aspirasi golongan wanita dan generasi muda amat penting kerana golongan itu mewakili lebih 50 peratus jumlah pengundi.

Antara aspirasi yang disuarakan pada sesi dialog itu adalah seruan agar kerajaan terus berusaha mengubah persepsi negatif yang dilemparkan, menukar minda belia agar menjadi generasi yang boleh berdikari dan tidak terlalu bergantung harap kepada kerajaan. – Bernama