KUALA LUMPUR- Cubaan seorang lelaki disyaki kurang siuman mahu membahayakan dirinya dengan bergayut atas papan tanda di jejantas Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan hari ini mencetuskan panik kepada pengguna lalu lintas.
Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggotanya memanjat jejantas itu dan mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk lelaki berkenaan sebelum berjaya membawa mangsa turun dari lokasi tersebut.
“Lelaki itu kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.07 petang tadi.
Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba ke lokasi, kami mendapati terdapat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bergayut atas papan tanda di jejantas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan awal bomba mendapati lelaki itu yang dipercayai kurang siuman dan mengalami tekanan perasaan.- MalaysiaGazette