KULAI – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah lori berhampiran Plaza Tol Skudai, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini hari ini.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu membabitkan dua buah lori iaitu sebuah lori tiga tan dan sebuah lori jenama Hino.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan, Fauzi Che Deris berkata, mangsa yang maut adalah kelindan lori Hino, Muhammad Amirul Asyraf Mohd. Nasir berusia 21 tahun.
Mangsa yang cedera pula adalah pemandu lori Hino, Mohamad Radaun Haji, 38, Noorhanifah Abu Bakar, 38, dan Muhammad Ebby Saiful Irwan Muhammad, 39 – masing-masing pemandu dan kelindan lori tiga tan terbabit.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.38 pagi.
“Seramai 17 anggota beserta dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (MERS) serta sebuah Rapid Rescue Vehicle (RRV) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, mangsa masing-masing adalah pemandu dan kelindan kedua-dua buah lori dengan kesemua mereka berada dalam keadaan tersepit akibat kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada polis manakala tiga yang lain dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan.
“Operasi menyelamat itu kemudiannya ditamatkan pukul 10.46 pagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette