KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Sedar di seluruh negara bermula esok bertujuan memantau pengguna jalan raya yang masih gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan motor.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) akan dijalankan.
“Ini dilaksanakan ekoran daripada pemerhatian yang dibuat oleh JPJ terhadap pengguna jalan raya yang masih ramai gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan motor pada kenderaan yang digunakan oleh mereka di atas jalan raya.
“Pada amnya, pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans akan menimbulkan kesulitan kepada pemilik kenderaan itu sendiri sekiranya berlaku sebarang bentuk kemalangan semasa menggunakan kenderaan masing-masing di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zailani berkata, JPJ turut menyarankan supaya semua pengguna jalan raya mengambil inisiatif untuk tidak menunggu saat akhir bagi memperbaharui cukai jalan (LKM) dan lesen memandu (LMM) mereka.
Katanya lagi, ketika pemantauan Op Sedar di lapangan, JPJ akan menyediakan kemudahan Mobile JPJ bagi tujuan pembaharuan LKM & LMM secara terus.
“Sehingga kini, JPJ tidak menerima sebarang arahan bagi tujuan kelonggaran penangguhan bayaran pembaharuan kedua-dua dokumen tersebut yang mana akan berakhir pada pukul 12 tengah malam 31 Disember ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette