Home Politik Pas tak malukah biar MN runtuh? – Nik Abduh

Pas tak malukah biar MN runtuh? – Nik Abduh

Ketua Pemuda PAS Pusat, Yb Ustaz Nik Mohamad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz berucap pada Seminar Pemikiran Tokoh - Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan kie9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Kerjasama yang terjalin antara Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) dikatakan retak menanti belah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Ini kerana Pas tidak mahu bersama UMNO dan memilih Perikatan Nasional (PN) kerana menganggap ia sebuah gabungan berdaftar tidak seperti MN hanya kerjasama politik yang tidak berpenghujung.

Terkini, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi hantaran di Facebooknya hari ini mengakui MN merupakan perjanjian politik yang terbaik pernah berlaku di dalam Pas.

“Sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) yang membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Ia perjanjian yang diberkati Allah SWT dengan serta-merta’ dengan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara,” tulisnya.

Jelasnya, MN dapat menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun.

“Ia meruntuh segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat.

“Jika Pas boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun demi bersama menentang ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) masa itu, maka tidak malukah kita pada Allah SWT, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat dengan membiarkan api kepanasan terus mara dan marak sesama pemimpin yang pasti boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh yang singkat?

“Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat? ” soalnya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu turut dilihat seolah-olah akan mengorak langkah bagi kembali ‘rujuk’ dan membetulkan segala kesilapan dan sedia bersama MN semula.

“Bukan diri saya namanya jika tidak bersedia memadamkan segala kebodohan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. selagi ego dendam kesumat benci membenci hasad dengki tiada sifat kemaafan semua PIHAK….jangan bermimpi UNTUK pegang pada TALI ALLAH dapat dimeterai dan dimurnikan sampai kiamat

Comments are closed.