KUALA LUMPUR – Lima pemain muda Selangor menandatangani kontrak jangka panjang, sekali gus kekal beraksi bersama pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Mereka adalah Sharul Nazeem, Ahmad Danial Asri, Aliff Haiqal Lau, Mukhairi Ajmal dan seorang pemain import dari Myanmar iaitu Hein Htet Aung menjadi barisan pemain awal yang menandatangangi kontrak lanjutan bersama skuad Gergasi Merah.
Untuk rekod, pemain pertahanan tengah muda, Shahrul Nazeem telah beraksi dalam 19 perlawanan dan menjaringkan satu gol, manakala pemain tengah kreatif, Aliff Haiqal Lau telah beraksi dalam 24 perlawanan serta memberikan satu bantuan gol.
Seorang lagi pemain tengah, Mukhairi bermain untuk Gergasi Merah dalam 23 perlawanan untuk musim ini dengan menjaringkan satu gol dan tiga bantuan gol.
Penyerang berbisa muda Selangor, Ahmad Danial Asri pula menjadi pemain muda paling banyak beraksi dan menjaringkan gol musim ini.
Sepanjang musim ini, dia telah bermain sebanyak 28 perlawanan dengan enam jaringan gol serta tiga bantuan gol.
Pemain muda Myanmar, Hein Htet Aung pula membuat 19 penampilan pada saingan musim ini dengan menyumbang dua jaringan gol dan enam bantuan gol.
Selain mengikat pemain muda, Selangor turut melakukan perubahan di bahagian staf kejurulatihan apabila Michael Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua pasukan skuad utama sambil dibantu oleh Karsten Neitzel dan bekas pemain Selangor, Nidzam Jamil. – MalaysiaGazette