Home Ekonomi Azhar mampu pulihkan krisis persepsi FGV – Zakaria

Azhar mampu pulihkan krisis persepsi FGV – Zakaria

Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid bakal membawa perspektif positif dan segar kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) yang ketika ini sedang menghadapi krisis persepsi.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, momentum positif ke atas harga saham FGV minggu lepas akan berterusan didorong keyakinan pasaran terhadap keupayaan Azhar dan pengurusan FGV untuk membawa kembali syarikat ke landasan yang betul.

“Saya berharap perkembangan positif ini akan menyuntik semangat baharu kepada kumpulan dan kakitangan untuk memaksimakan pulangan kepada pemegang taruh dan pemegang saham terutamanya Felda dan peneroka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zakaria yang dipaksa bercuti sejak 6 Jun lalu bersama tiga lagi pegawai kanan FGV sedang menantikan keputusan Siasatan Dalaman (DI) yang dijangka diumumkan minggu ini. – MalaysiaGazette