Thursday, November 28, 2024
Home Nasional Pengantunan seksual kini boleh dipenjara, disebat

Pengantunan seksual kini boleh dipenjara, disebat

Siti Zailah Mohd Yusoff KPWKM unnatural sex women family children rape incest
Siti Zailah Mohd Yusoff
KUALA LUMPUR – Pengantunan seksual atau sexual grooming kini dimasukkan ke dalam Akta Kanak-Kanak sedia ada sebagai satu kesalahan jenayah.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, di bawah akta tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.
“Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 telah digubal bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak, serta mengadakan pencegahan yang berkesan bagi kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Kesalahan pengantunan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai child grooming telah pun dimasukkan ke dalam akta tersebut dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat. Akta ini di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) mengenai kesediaan kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada untuk menjadikan sexual grooming sebagai satu jenayah di Malaysia.
Pada 2017, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pernah membangkitkan isu mengenai sexual grooming yang dilihat wujudnya kelompangan dalam peruntukan undang-undang kerana pelaku jenayah itu tidak dapat didakwa jika dibawa ke muka pengadilan.
Antun kanak-kanak ialah sejenis aktiviti jenayah, kadangkala melalui internet, yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual.
Ia juga digunakan untuk mengumpan kanak-kanak di bawah umur untuk bersubahat dalam perniagaan haram seperti pemerdagangan kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak atau dalam terbitan pornografi kanak-kanak.
Dalam pada itu, Siti Zailah memberitahu, data 2020 menunjukkan hanya 34.4 peratus daripada ibu bapa yang menggunakan aplikasi kawalan dalam melindungi anak-anak mereka dalam internet. – MalaysiaGazette