Home Sukan KL City akan berjuang di tempat lawan – Zhafri

KL City akan berjuang di tempat lawan – Zhafri

Zhafri Yahya (kanan). Foto FML.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya tidak menolak faktor kepenatan menjadikan aksi mereka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur tidak seperti yang dirancang dan tekad akan mampamerkan prestasi yang lebih menyakinkan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Hang Jebat nanti.

Namun tandukan daripada Zhafri berjaya menyelamatkan pasukan daripada tewas di laman sendiri selain menganggap pengendali, Bojan Hodak banyak membentuk dirinya menjadi pemain lebih berkualiti.

“Di bawah kendalian Bojan Hodak, saya lihat bukan saya sahaja malah prestasi pemain-pemain lain juga banyak dah meningkat berbanding sebelum ini dan beliau tahu kelebihan saya untuk letak saya di posisi terbaik.

“Untuk perlawanan Isnin lalu, mungkin sedikit kepenatan menyebabkan pemain-pemain beraksi tidak seperti biasa sebab kita bermula daripada saingan liga sehingga Piala Malaysia, jurang hari untuk rehat tidak jauh.

“Tetapi, kita tidak akan mengalah dan akan berjuang habis-habisan di tempat lawan nanti untuk cuba mara ke final”, katanya.

Perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia akan berlangsung pada Jumaat menyaksikan Melaka akan berdepan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat manakala Terengganu FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim menentang Johor Darul Ta’zim (JDT). – MalaysiaGazette