Home Utama KPDNHEP umum langkah bendung kenaikan harga barang dalam masa terdekat

KPDNHEP umum langkah bendung kenaikan harga barang dalam masa terdekat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi melancarkan gimik pembukaan cawangan ke 2000 99 SpeedMart di Jalan Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan langkah-langkah tertentu membendung kenaikan harga barangan keperluan dalam masa terdekat.

Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, satu pertemuan telah diadakan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) semalam bagi membincangkan dengan lebih terperinci mengenai isu tersebut.

“KPDNHEP sedar akan kenaikan harga barang keperluan jadi seperti mana yang dimaklumkan serta dijelaskan sebenarnya kenaikan ini adalah menyeluruh bukan sahaja di negara kita, di negara lain pun seperti ayam, sayur-sayuran dan telur.

“Semalam tiga kementerian duduk bermesyurat di mana kami berbincang bagaimana dalam masa terdekat ini berbuat sesuatu langkah-langkah yang mungkin dapat mengawal keadaan ini dan kalau boleh kita kurangkan harga barangan keperluan, saya minta sabar sedikit lagi untuk pengumuman.

“Jadi dalam seminggu dua lagi akan ada diumumkan langkah-langkah tertentu yang kita yakin boleh membantu dalam membendung kenaikan harga barang keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan cawangan ke-2,000 kedai 99 Speedmart di Puncak Sentul di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi melihat barang-barang tempatan di SpeedMart pada Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan ke 2000 99 SpeedMart di Jalan Sentul Perdana, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, kebanyakan punca kenaikan harga barangan keperluan adalah luar kawalan pihak kementerian.

Jelas beliau, isu berkenaan bukan sahaja membabitkan kenaikan makanan ayam malah ia turut melibatkan kos operasi di ladang-ladang.

“Kita tengok (nanti) bagaimana kita menangani masalah ini, kita tengok secara keseluruhannya bagaimana untuk membantu penternak-penternak ini mengurangkan kos operasi mereka baru lah boleh kawal (harga) nanti.

“Kita akan buat dalam masa terdekat, saya mohon sabar sedikit kerana kita ada langkah-langkah tertentu sudah dibincangkan untuk mengatasi masalah harga ayam dan sebagainya.

“Manakala baja dan racun pula di bawah MAFI, mereka yang lebih mengetahui dalam perkara ini. Kami di KPDNHEP ini menjaga harga jadi apabila kita selesai perbincangan bagaimana untuk buat yang terbaik akan kita laksanakan nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette