Home Seni Hidup Panjat bumbung selamatkan diri, terperangkap dua jam

Panjat bumbung selamatkan diri, terperangkap dua jam

Penduduk merehatkan diri semasa melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan rumahnya dimasuki air berikutan kejadian banjir kilat yang melanda pada Isnin lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

AMPANG – Penduduk yang berdepan banjir kilat di Kampung Lembah Jaya Selatan di sini Isnin lalu berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika menyelamatkan diri.

Bagi seorang mangsa, Siti Nur Rahifah Bahaulazman, 29, ketika kejadian sekitar pukul 7.30 malam itu, hanya dia, ibu dan sepupunya berada di rumah.

Jelas eksekutif syarikat itu, sebelum itu, hujan turun tidak berhenti-henti sejak pukul 5 petang.

Siti Nur Rahifah Bahaulazman. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

“Ketika itu, saya baru pulang dari kerja dan baru hendak berehat. Tiba-tiba suasana menjadi kecoh apabila terdengar suara jiran menjerit air sudah naik.

“Ketika itu, kami memang tidak sempat buat apa-apa hanya ambil barangan peribadi seperti kad pengenalan dan telefon bimbit serta hanya mampu menyelamatkan kucing peliharaan.

“Ini kerana air masuk dengan cepat beserta dengan lumpur dan kayu-kayan hingga mencecah paras gazebo di luar rumah.

“Kami bertiga terpaksa naik ke atas bumbung untuk selamatkan diri dan terperangkap selama dua jam sambil menunggu air surut,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Penduduk masih melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah mereka yang dimasuki air berikutan kejadian banjir kilat yang melanda pada Isnin lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021

Beliau ditemui ketika lawatan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diketuai ketua pegawai eksekutifnya, Saipolyazan Mat Yusop yang menyantuni 70 mangsa banjir dengan menghulurkan barangan keperluan asas.

Siti Nur Rahifah menambah, keluarganya menanggung kerugian yang dianggarkan melebihi RM200,000 termasuk tiga kereta yang tenggelam dalam banjir itu selain pagar belakang rumah yang runtuh.

Katanya, itu belum lagi mengambil kira kerosakan barangan elektrik di dalam rumah antaranya televisyen, mesin basuh, peti ais, laptop.

Dia turut mendakwa air lumpur yang masuk dengan pantas itu berpunca daripada empangan yang dibuka secara terus.

Keadaan sekitar kawasan perumahan yang berlumpur susulan kejadian banjir kilat isnin lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

“Kami tinggal di sini sudah lama dan berpuluh tahun. Kami tahu banjir kilat ini kerana air dari empangan dibuka terus dan bukan berperingkat.

“Kalau banjir dari sungai bukan begini kerana ia akan ambil lama untuk air masuk dan warna masih jernih.

“Ini air penuh dengan lumpur dan kayu balak serta berlaku secara mendadak,” katanya yang berkongsi berdepan pengalaman banjir sama pada 2012 hingga air naik paras bumbung rumah.

Sementara itu, Siti Nur Rahifah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada LZS yang prihatin dengan nasib mangsa banjir di situ.

Penduduk masih melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah mereka yang dimasuki air berikutan kejadian banjir kilat yang melanda pada Isnin lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

Pada Isnin petang lalu, hujan lebat hampir tiga jam  sekitar Lembah Klang mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Ampang Jaya dilanda banjir kilat.

Selain Kampung Lembah Jaya Selatan, antara kawasan terlibat termasuk Taman Hillview dan Kampung Lembah Jaya Utara.

Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, banjir kilat susulan hujan lebat itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya di kawasan berhampiran, yang mengakibatkan tanah lumpur memasuki sungai dan saliran air.

Beliau berkata, tanah dan lumpur daripada projek pembinaan itu terlonggok di dalam longkang dan sungai mengakibatkan saliran itu menjadi cetek lalu menyebabkan banjir. – MalaysiaGazette

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop (tengah) menyantuni salah seorang mangsa banjir kilat, Noor Suhani Gul Mohamed (dua kiri) selepas menyampaikan sumbangan di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.