Home Nasional Lapan lokasi di Kelantan berisiko berlaku kepala air, tanah runtuh – Polis

Lapan lokasi di Kelantan berisiko berlaku kepala air, tanah runtuh – Polis

Datuk Shafien Mamat

TUMPAT – Lapan lokasi di Kelantan dikenal pasti berisiko berlakunya kejadian kepala air, tanah runtuh dan mendapan tanah berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Beliau berkata, lokasi berisiko berlaku kepala air adalah Air Terjun Lata Rek, Gunung Stong dan Chuchuh Puteri di Kuala Krai manakala lokasi berisiko tanah runtuh adalah Jalan Kuala Betis-Lojing, Jalan Gua Musang-Lojing dan Lebuhraya Timur Barat Jeli-Grik.

“Mendapan tanah pula berisiko berlaku di Kampung Kubang Kuau, Bachok selain runtuhan tebing di Kampung Celagi, Pasir Mas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, di sini, hari ini.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai atau pengguna jalan raya supaya berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, bilik gerakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan beroperasi 24 jam dan pihaknya bersama-sama pihak berkuasa tempatan juga sentiasa memantau kawasan berisiko terbabit.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, pihaknya telah memanggil lebih 10 saksi bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT), baru-baru ini.

“Antara yang dipanggil termasuk anggota polis, orang awam dan rakan-rakan OKT yang berada di lokap sama. Keputusan laporan bedah siasat dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Pada 16 November lepas, lelaki berusia 23 tahun itu sedang dirakam percakapan dan dokumentasi bagi membantu siasatan kes kecurian kenderaan di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah IPK  Kelantan sebelum dilihat dalam keadaan bergetar dan mulut berbuih.

Pegawai dan anggota yang menjalankan proses rakaman percakapan itu bertindak membawa lelaki itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan sebelum lelaki terbabit meninggal dunia pada hari sama.

Kematiannya diklasifikasikan sebagai mati mengejut berikutan laporan bedah siasat oleh pakar forensik patalogi HRPZ II tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian. – Bernama