Home Nasional Rakyat Sarawak berang kadar tambang tiket kapal terbang melambung tinggi

Rakyat Sarawak berang kadar tambang tiket kapal terbang melambung tinggi

Gambar hiasan

KUCHING – Kemeriahan menyambut Krismas di kampung halaman kali ini mungkin tidak dapat dirasai oleh kebanyakan rakyat Sarawak yang bekerja dan bermastautin di Semenanjung berikutan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi ketika ini.

Harga tiket penerbangan yang terlalu mahal bukan sahaja menghalang rakyat Sarawak daripada pulang bercuti pada hujung tahun ini, malah mereka juga mungkin terpaksa membatalkan hasrat untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, pada 18 Dis depan.

Penjual mi Leo Joe Miller yang berasal dari Kampung Bangau, Padawan dekat sini dan kini menetap di Kuala Lumpur berkata, tahun ini merupakan tahun keempat beliau tidak dapat pulang ke kampung, kerana sejak dua tahun lepas, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19 dikuatkuasakan.

“Bukannya saya tidak mahu membawa keluarga saya pulang ke Sarawak, tetapi saya memerlukan hampir RM5,000 hanya untuk membeli tiket (tambang penerbangan) dan ini membebankan kami,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Bergelut untuk memulakan perniagaan di Cheras empat tahun lalu, Leo, 34, yang juga bapa kepada tiga anak itu berkata wabak berkenaan telah  memberi kesan terhadap perniagaannya dan mahu kerajaan Persekutuan dan Sarawak untuk campur tangan supaya tambang penerbangan ke Sarawak dapat diturunkan ke tahap yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah.

Menurut Leo tidak semua rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung mempunyai pendapatan lumayan kerana kebanyakan mereka hanya ingin mencari peluang yang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup.

“Kami bukan (bekerja) di sini untuk suka-suka… kami mencari peluang yang lebih baik tetapi situasi ini (wabak) sudah tentu memburukkan keadaan, manakala ‘tiket belon’ (tambang penerbangan) yang terlalu mahal umpama, sudah jatuh ditimpa tangga,”  luah beliau.

Sementara itu, seorang penulis kandungan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Gareth Dawum berkata, beliau terpaksa membatalkan rancangannya untuk pulang ke Kuching sama ada untuk menyambut Krismas atau mengundi dalam PRN negeri.

“Kali terakhir saya semak, harga tiket sekitar RM1,000 hingga RM4,000 untuk kedua-dua hala dan ini ternyata ‘harga kayangan’,” katanya.

Beliau berharap syarikat penerbangan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan harga tiket penerbangan khususnya bagi membolehkan rakyat Sarawak pulang ke tanah air untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Lelaki berusia 32 tahun dari Kuching itu rata-rata rakyat Sarawak bukan sahaja berhasrat pulang untuk menyambut Krismas, malah apa yang lebih penting ialah dapat meluangkan masa bersama-sama ibu bapa mereka atau menyelesaikan beberapa urusan penting selepas hampir dua tahun tergendala akibat sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan.

Penyanyi kelahiran Sarawak, Alena Murang turut menzahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan kenaikan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching sebelum cuti Krismas bulan depan yang dianggap terlalu mahal.

“Cuba untuk mendapatkan harga tiket penerbangan terbaik ke Kuching (dari Kuala Lumpur) semasa Krismas dan terkejut dengan harga ini! Selepas memasukkan harga tambahan dan cukai pemindahan lapangan terbang KLIA, boleh dikatakan adalah lebih baik beli tiket untuk terbang ke London!”.

“Jika anda tahu berapa banyak air mata yang jatuh berderai dari semua rakyat Sarawak yang tidak dapat pulang ke kampung tahun lepas kerana perintah (berkurung). Tolonglah bertimbang rasa!, maksud saya, kita adalah negeri yang paling ramai menyambut perayaan Krismas!” ciap Alena di dalam Instagram dan Facebooknya.

Tinjauan Bernama di beberapa laman web syarikat penerbangan yang mengendalikan operasi penerbangan dari Semenanjung ke Sarawak hari ini, mendapati harga tiket sehala termurah bagi laluan Kuala Lumpur (KL)-Kuching ialah RM1,299, KL-Sibu (RM888) dan KL-Miri (RM665). – MalaysiaGazette