Home Nasional Kematian Dr Koh Meow bukan kerana dos penggalak – Noor Hisham

Kematian Dr Koh Meow bukan kerana dos penggalak – Noor Hisham

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) membaca buku Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020 selepas sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Chai Koh Meow disahkan akibat penyakit jantung koronari (hemopericardium) dan myocardial infarction.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, berdasarkan laporan bedah siasat menunjukkan kematian Koh Meow bukan disebabkan dos penggalak vaksin Covid-19 seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya nak ucap terima kasih kepada keluarga mendiang, abang Dr Chai kerana membenarkan KKM memaklumkan dapatan bedah siasat forensik.

“Hasil dapatan laporan ini menyatakan sebab kematian adalah penyakit jantung koronari…ini adalah laporan yang telah kita terima dan pihak KKM sedih dengan pemergian Dr Chai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy meminta agar kematian mendiang Dr Koh Meow tidak lagi dijadikan bahan spekulasi pihak tertentu, terutama kepada mereka yang mempunyai niat menghalang penerima dos penggalak vaksin.

“Kerajaan dan KKM percaya dengan ketelusan…maka saya minta DG (Ketua Pengarah Kesihatan) berkongsi hasil dapatan kematian mendiang dengan jelas bagi menunjukkan tiada apa-apa maklumat yang disembunyikan.

“Apa-apa kes pun kita akan buat siasatan terperinci iaitu forensik dan post-morterm (bedah siasat) diteliti sebelum satu ketetapan dapat dibuat malah buat masa ini tidak ada kematian yang disebabkan secara langsung dari vaksin, sama ada primary atau booster,” ujarnya.

Sebelum ini Noor Hisham memaklumkan, Dr Koh Meow telah melengkapkan dos penggalak vaksin Covid-19 pada 9 November lepas dan tidak melaporkan sebarang kesan sampingan luar biasa setelah mendapat vaksinasi tersebut.

Beliau turut memberitahu, mendiang turut hadir bertugas dan melakukan tugasannya seperti biasa sehingga 16 November lepas. – MalaysiaGazette