Home Nasional KKM terima 93 permohonan bantuan khas kesan mudarat vaksin Covid-19

KKM terima 93 permohonan bantuan khas kesan mudarat vaksin Covid-19

Primary school students would need to go for mandatory weekly Covid-19 screening by rotation beginning next Monday to avoid education cluster.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai mengenai Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sebanyak 93 permohonan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, lapan permohonan diluluskan oleh Jawatankuasa Induk KKM dan dalam proses pembayaran oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membabitkan jumlah sebanyak RM132,500.

Beliau berkata, sebanyak 78 permohonan masih dalam penilaian dan daripada jumlah itu, 56 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) manakala, 22 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Teknikal Perubatan(JTP).

“Sebanyak tujuh lagi permohonan ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai kesan tindak balas vaksinasi (AEFI) serius.

“Sebagai makluman, Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 ini akan dipertimbangkan berdasarkan kriteria yang perlu dipenuhi iaitu AEFI yang berlaku dalam tempoh tiga bulan daripada menerima vaksin.

“Ia dikategorikan sebagai serius berdasarkan laporan penilaian JFK dan Laporan AEFI hendaklah dihantar kepada Bahagian RegulatoriFarmasi Negara (NPRA) oleh anggota kesihatan yang merawat pesakit,” katanya pada sidang media di sini di sini, hari ini.

Menurut Khairy, nilai bantuan kepada individu yang terkesan oleh AEFI ditentukan berdasarkan perakuan oleh JTP dan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19.

“Nilai Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 yang ditetapkan adalah tidak melebihi RM50,000 jika berlaku kesan advers yang serius kepada penerima vaksin Covid-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

“Tidak melebihi RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette