Home Nasional PAPSMA cadang kerajaan percepat kemasukan pengawal keselamatan asing

PAPSMA cadang kerajaan percepat kemasukan pengawal keselamatan asing

Gambar fail
Gambar fail

KUALA LUMUPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyambut baik cadangan kerajaan untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAPSMA, Dr. Sukumaran Nair berkata, cadangan itu harus dilaksanakan segera bagi memberikan nafas baharu kepada majikan pengawal keselamatan di seluruh negara terutamanya sektor swasta.

“Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan sedang bersiap sedia untuk melibatkan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber baharu bagi pengambilan pengawal keselamatan ke sektor swasta oleh 903 syarikat keselamatan berlesen pada masa ini di Malaysia.

“Bagaimanapun, beliau mengulangi bahawa satu kajian sedang dilakukan oleh kementerian untuk memastikan semua faktor diambil kira terutamanya kepentingan keselamatan negara sebelum keputusan muktamad dibuat untuk pengambilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hamzah berkata, KDN akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

Menurut Hamzah, beliau akan membuat pengumuman muktamad selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Dr. Sukumaran menyeru agar kerajaan mengambil keputusan segera bagi memastikan kemasukan pengawal asing dari tiga negara itu ke Malaysia dibuat secepat mungkin.

Kata beliau, ia bagi memenuhi kekosongan jawatan yang luas dalam pelbagai sektor industri keselamatan negara.

“Syarikat keselamatan swasta yang dilesenkan di bawah Akta Agensi swasta 1971 oleh Kementerian Dalam Negeri amat memerlukan pekerja-pekerja ini untuk memenuhi beribu-ribu kekosongan jawatan terutamanya di sektor swasta.

“Memandangkan pengawal keselamatan dianggap berada di bawah kategori 3D iaitu berbahaya, sukar dan kotor, penduduk tempatan Malaysia tidak menunjukkan minat untuk memenuhi kekosongan jawatan dalam sektor yang tumbuh pesat ini malah ia mempunyai potensi ekonomi yang besar untuk negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, buat masa kini negara mempunyai 145,009 pengawal keselamatan tempatan berdaftar yang terdiri daripada 82 peratus dan baki 18 peratus atau 32,318 pengawal lagi adalah daripada negara Nepal.

Malah menjelang 2030, Malaysia akan mencatatkan kekosongan 500,000 kekosongan untuk industri keselamatan dan kira-kira 120,000 pengawal pada masa ini. – MalaysiaGazette