Home Dunia Grace Mugabe dakwa model serang dengan pisau

Grace Mugabe dakwa model serang dengan pisau

Gabriella Engels dengan luka akibat diserang oleh Grace Mugabe (kanan). foto Agensi

ZIMBABWE – Isteri Robert Mugabe menafikan beliau telah menyerang model Afrika Selatan, Gabriella Engels dengan wayar kabel elektrik di suite hotel di Johannesburg bulan lalu.

Sebaliknya, beliau mendakwa Engels menyerangnya dengan pisau.

Dalam mempertahankan dirinya Grace Mugabe berkata, beliau adalah mangsa dalam kejadian itu selepas dua anak lelakinya, Chatunga dan Robert Junior menghadapi masalah dengan Engels yang didakwa mabuk.

Menurut kenyataannya, isteri presiden Zimbabwe itu memaklumkan beliau sedang menimbangkan untuk mendakwa Engels cuba membunuh.

Sebelum ini, Engels berkata, Grace yang sedang marah masuk ke dalam bilik, yang mana dia sedang menunggu bersama dua sahabat untuk bertemu Chatunga Mugabe pada 13 Ogos telah memukulnya dengan wayar kabel.

Namun Grace menolak dakwaan itu dengan menuduh Engels sebagai berniat jahat. Malah beliau mendakwa diserang semasa membantu kedua-dua anak lelakinya.

“Dia bimbang akan dua anak lelakinya dan pergi menemui mereka di suite hotel itu. Sebaik sahaja tiba, Engels yang mabuk telah menyerang Grace dengan pisau selepas dia diminta meninggalkan hotel.

“Pihak keselamatan telah meninggalkannya dan beliau tidak ada pilihan lain kecuali mengusir Engels dari suite tersebut,” menurut kenyataan.

Afriforum, kumpulan masyarakat awam yang mewakili Engels menafikan dakwaan Grace.

“Gabriella tidak pernah serang Grace dalam apa-apa keadaan dan dia tidak terlibat dalam pergaduhan di Taboo,” kata Afriforum.

Afriforum bagaimanapun mendakwa Grace berusaha keras untuk melepaskan tanggungjawab terhadap tingkah laku ganasnya dengan menggunakan pembohongan untuk menunjukkan mangsa dalam kes ini sebagai orang yang dituduh.- MalaysiaGazette