KUALA LUMPUR – Taktik berani sekumpulan tiga wanita warga asing berkomplot dengan warga tempatan membuka pusat panggilan judi dalam talian di sebuah rumah kondominium terbongkar.
Ketiga-tiga wanita asing itu antara lima yang berjaya diberkas polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuching semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, penahanan itu dibuat selepas serbuan atas sebuah rumah di Kondominium Lake Ville Residensi lebih kurang pukul 4 petang.
Katanya, kediaman itu dijadikan suspek sebagai pusat panggilan judi dalam talian.
“Hasil pemeriksaan di dalam premis seramai dua orang lelaki warganegara tempatan dan perempuan warganegara asing telah ditangkap polis.
“Kesemua suspek berumur lingkungan 20 tahun hingga 27 tahun yang terbabit dalam kegiatan perjudian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, kelima-lima suspek terbabit berperanan sebagai penjaga premis dan operator di pusat panggilan tersebut.
Hasil siasatan awal juga mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik rumah pangsapuri persendirian dan mula beroperasi sejak sebulan lalu.
Malah katanya, sewa kondominium itu diuruskan seorang lagi individu disyaki ketua kepada suspek berkenaan yang kini sedang diburu polis.
Selain itu, dalam serbuan dan tangkapan itu, polis juga berjaya merampas seunit komputer riba jenama Acer, empat unit pemprosesan pusat (CPU) pelbagai jenama, sembilan unit telefon bimbit berbagai jenama, lima unit tetikus berbagai jenama, seunit modem Jenama TM, seunit unit router Jenama Huawei, dan serangkai kunci beserta sekeping kad akses rumah.
Tegas Eng Lai, kesemua suspek kini ditahan reman di IPD Sentul untuk siasatan lanjut manakala status pasport tiga wanita asing itu sedang disemak dengan Jabatan Imigresen dan ketiga-tiga wanita berkenaan didapati berada di dalam negara secara haram.
Kes ini telah disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen, 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana terbabit dalam aktiviti Judi Online (Calling Centre) dan tidak mempunyai permit yang sah. – MalaysiaGazette